Simbolik Kebangkitan, 80 Orang Anak Muda Sertai UMNO – Noh

PULAI, 9 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berpandangan penyertaan anak muda dalam UMNO adalah bukti kebangkitan golongan ini selepas melihat realiti semasa negara terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, mereka pada masa kini sudah bijak menilai selepas melihat pentadbiran kerajaan terdahulu yang tidak kompeten dan berpengalaman berbanding Barisan Nasional (BN).

“Kita lihat anak muda dalam bandar juga bangkit untuk bersama-sama dengan UMNO seperti malam ini dengan penubuhan cawangan UMNO baharu dan penyertaan lebih 80 orang semuanya anak-anak muda.

“Ini menunjukkan bahawa mereka sudah nampak dan membezakan cara BN dan parti lain ketika Allah sudah memberi peluang kepada Bersatu untuk jadi Perdana Menteri begitu juga Pakatan Harapan (PH).

“Johor pula tiga kali tukar menteri besar dalam penggal ini malah saya yakin rakyat termasuk golongan muda boleh nampak dan nilai siapakah yang diberikan keyakinan untuk tadbir negeri ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Tekun Nasional bersama usahawan dan penduduk Bandar Uda Utama, di sini, Selasa malam.

Sebagai simbolik pada penyertaan anak muda tersebut, beliau menyerahkan borang kemasukan ahli baharu pada Setiausaha UMNO Bahagian Pulai, Datuk Abd Rashid Kasman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang itu menambah bahawa anak muda menjadi saksi bahawa BN telah berbakti dalam membawa negara ini ke arah tahap yang membanggakan melalui kepimpinan yang berkredibiliti di bawah parti ini.

“Kita kena ingat dalam perjuangan pemimpin datang dan pergi tetapi falsafah dan prinsip perjuangan BN yang telah terbukti berjaya membangunkan ekonomi negara kita khususnya di Johor,” ujar beliau.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Noh meluahkan kekeliruan dengan poster boy yang diketengahkan oleh parti lawan terutama Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana katanya menerusi paparan di sekitar Johor poster boy daripada PN itu adalah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak menjadi calon pada PRN ini.

“Pelik tengok yang banyak jadi poster boy ini, kalau tengok yang tidak bertanding pun ada mukanya termasuk Muhyiddin.

“Bagaimanapun bagi saya yang penting kita punya poster boy iaitu calon menteri besar Datuk Seri Hasni Mohammad akan dilantik jika BN menang,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.