Pasca PRU-14, Angin Perubahan Dapat Dilihat Di Johor – Ahmad Zahid

ISKANDAR PUTERI, 9 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi optimis kebangkitan rakyat terutama pengundi di Johor untuk memilih angin perubahan bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Katanya, ini kerana rakyat mengambil pedoman daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu yang menyaksikan perubahan sekelip mata selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

“Kita merasakan gelombang telah begitu kuat, angin perubahan begitu kencang untuk memberi dokongan kepada calon-calon BN kerana tentunya terdapat rasa penyesalan dalam PRU ke-14 apabila kebanyakan pengundi ketika itu terbuai dengan isu dan juga beberapa fitnah yang telah dibawa.

“PRN Johor ini merupakan pilihan raya ketiga selepas Sabah dan Melaka maka perubahan-perubahan telah diperlihatkan dengan keputusan yang baik pada ketika itu memberikan harapan baharu untuk pengundi di sini agar menterjemahkan perubahan angin dan gelombang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Turut hadir calon DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad, DUN Skudai, Lim Soon Hai dan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A.Malik.

Sementara itu, Pengerusi BN itu juga meluahkan harapan untuk peningkatan jumlah peratusan sokongan pengundi terutama dalam kalangan bukan Melayu untuk mendokong calon BN bagi kedua-dua DUN ini berbanding pada keputusan PRU-14 yang lalu.

“Saya bukan sahaja melihat laporan di atas kertas malah melakukan tinjauan walaupun ianya merupakan suatu kualitatif, kita amat yakin bahawa pengundi-pengundi Cina juga walaupun mungkin peratusan itu tidak setinggi… yang kita harapkan peratusan itu lebih daripada apa yang diberikan calon-calon BN pada PRU-14 yang lalu,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.