Kita Tengok 12 Mac Nanti, Itik Mana Yang Patah Kaki – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 9 Mac – “Dia kata kita patah kaki, sekarang ini kita tengok lepas 12 Mac ini, itik mana yang patah kaki.”

Demikian bidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada sebuah parti yang sebelum ini mendakwa menyelamatkan UMNO selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Jangan kacau orang kalau satu jari tuding pada orang empat jari balik pada diri sendiri,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian pada ceramah pilihan raya di Pusat Daerah Mengundi Rumah Pangsa Larkin, Johor Bahru.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Tan Sri Shahrir Samad serta calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Presiden Barisan Nasional (BN), turut berharap pengundi di Johor tidak memberi peluang kepada kerajaan yang telah gagal dalam mentadbir negara dan negeri sebelum ini.

Beliau malah pada ceramah sama turut meluahkan rasa janggal dengan poster boy daripada parti lawan termasuk dari Perikatan Nasional (PN) yang dipaparkan sekitar Johor meskipun individu tersebut tidak bertanding pada PRN ini.

“Bekas kerajaan gagal banyak betul gambar Abah Prihatin Johor… rakyat Johor khususnya pengundi kalau dulu dia pernah gagal jangan biar diulang di negeri Johor.

“…jangan bagi peluang kepada calon dari parti itu saya tidak fikir Johor tak belajar daripada pengalaman itu khususnya para pengundi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.