Kerajaan Johor Yang Stabil Hanya Boleh Dicapai Menerusi Kebijaksanaan Rakyatnya – PM

KOTA TINGGI, 9 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan bahawa kerajaan Johor yang stabil hanya boleh dicapai menerusi kebijaksanaan rakyatnya.

Katanya Johor bertuah kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Singapura menjadikan negeri ini tumpuan dan pusat pelaburan.

“(Justeru) kita perlu kerajaan Johor yang stabil dan yang boleh menstabilkan kerajaan Johor untuk memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor, adalah berdasarkan kebijaksanaan tuan-tuan dan puan-puan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Mengambil contoh situasi politik sebelum ini, Ismail Sabri berkata pelbagai perkara telah berlaku dalam negara disebabkan ketidakstabilan politik, sehingga menyaksikan tiga Perdana Menteri dilantik (selepas Pilihan Raya Umum Ke-14).

“Hari ini kita lihat kerajaan di peringkat Persekutuan adalah kerajaan yang stabil selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) (bersama pembangkang).

“Perkara ini (kerajaan stabil) disebut selepas titah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) bahawa Seri Paduka berpuas hati dengan kestabilan politik pada masa kini,” kata Perdana Menteri.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan pilihan raya negeri Johor pada Sabtu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.