Hanya BN Tawarkan Kestabilan… Pihak Lawan Tak Ada Perancangan Masa Depan

JOHOR BAHRU, 9 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim menekankan bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang menyajikan kepada rakyat perancangan masa hadapan melalui Ikhtiar BN dalam mendepani kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, hal ini berbeza dengan parti-parti lawan yang berkempen bukan membicarakan tentang masa depan Johor tetapi masih lagi mencanangkan kononnya bahayanya BN.

“BN yang telah menyajikan Ikhtiar BN sebagai platform untuk beralih kepada yang lebih baik demi kestabilan rakyat dan Negeri Johor. Kita beritahu orang ramai apa yang kita nak buat jika mendapat mandat.

“Ini berbeza dengan pihak lawan kerana mereka masih cerita bagaimana nak berganding untuk kalahkan BN dan bukan untuk menjaga rakyat… sebabnya mereka tak ada perancangan untuk masa hadapan.

“Kita buat kerja untuk buat terangkan bagaimana berkaitan pelan atau langkah-langkah bagi memulihkan ekonomi termasuk hubungan dengan Singapura misalnya tapi kita juga berdepan cabaran dari pembangkang yang menakut-nakutkan rakyat misalnya ‘kluster mahkamah’ masih diulang-ulang sedangkan ini tak menguntungkan masa depan negeri kita, malahan tidak menyuburkan demokrasi.”

Tegas Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar, patutnya yang dinyatakan pada rakyat ialah minta undi mereka untuk masa depan dan bukannya meminta undi hanya kerana BN bahaya.

“Apapun alasan orang politik ini janganlah sampai membodohkan orang ramai kerana kita diajar bahawa matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

“Janganlah sampai kita dah buat salah pun, tapi kita cari juga jalan untuk mengatakan bahawa ‘pengkhiatan’ itu bagus sebagaimana yang diulang-ulang mereka kononnya menyelamatkan rakyat dari BN.”

Beliau berkata demikian menerusi segmen Facebook UMNO Online sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang membincangkan topik ‘Bicara Minda Johor: Antara Mimpi & Realiti’, bersama seorang lagi panel, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Razali turut mengimbas bagaimana kepimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika berkerajaan melaksanakan pentadbiran bukan untuk pembangunan namun untuk terus memburuk-burukkan BN.

“Membatalkan projek-projek yang sedang berjalan juga telah merosakkan ekonomi. Sedangkan ia melibatkan perjanjian antarabangsa dan sebagainya namun ia dihentikan kerana dilaksanakan kerajaan sebelumnya iaitu BN.

“Waktu itu negara kita tidak lagi dipandang lagi atau tidak lagi menjadi destinasi ketua-ketua negara antarabangsa sebaliknya mereka beralih ke negara-negara jiran untuk melabur.

“Buku pengakuan Tommy Thomas misalnya telah memburukkan nama negara kerana ia dibaca juga oleh masyarakat antarabangsa yang menunjukkan sistem kehakiman dan pentadbiran di negara kita memang tak boleh dipercayai dan sebagainya. Dia tak perasan dalam nak memburukkan BN maka telah memberi penceritaan negatif kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Razali memaklumkan bahawa apa yang berlaku sekarang ini hanya boleh diperbetulkan oleh rakyat.

Ujarnya, dari segi impian untuk tubuh sebuah kerajaan demi kebaikan bersama, BN ada potensi tapi perlukan satu pasukan di bawah sokongan rakyat.

“BN menawarkan Ikhtiar demi kestabilan masa depan. Kita nak teruskan projek-projek yang tertangguh sebelum ini dan kembalikan Johor sebagai negeri yang cemerlang dan maju.

“Dalam kempen yang masih berbaki dua hari ini, pengundi dan jentera jagalah SOP… COVID walaupun tak sebahaya sebelum ini tapi masih berlaku jangkitan.

“Jentera perlu terus fokus. Ambil peluang untuk berjumpa pengundi bagi menjelaskan tentang Ikhtiar BN. Kita tak mahu sokongan kepada BN kerana bencikan pihak lawan tapi haruslah kerana keupayaan BN sendiri untuk mentadbir,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.