‘4K@Rengit’ Fokus Puad Untuk DUN Rengit

BATU PAHAT, 9 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengetengahkan impian ‘4K@Rengit’ yang menumpukan empat kunci utama iaitu Kesejahteraan, Kesihatan, Kecergasan dan Keceriaan sebagai menifesto beliau dalam menambat hati pengundi di DUN itu.

Antara inti pati impian itu adalah pembinaan rumah-rumah kos rendah dan mampu milik, membina pusat dialisis di dalam DUN itu, pembangunan sukan sepak takraw dan petanque serta mengecat semula bangunan kedai di Pekan Rengit.

Beliau juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan projek penyusunan semula penempatan Orang Asli di DUN Rengit yang tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan itu.

Seterusnya, Puad juga berkata beliau mengambil peluang bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya.

“Saya ingin menghabiskan hidup saya untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat. Biarpun Parlimen atau DUN, tidak ada yang membezakan seorang wakil rakyat itu”.

Begitu juga katanya tiada sebarang ‘downgrade position’ atau menurunkan taraf baginya seperti yang didakwa sesetengah pihak apabila membuat penampilan semula di pentas PRN Johor kali ini walaupun pernah menjadi Ahli Parlimen.

“Ada orang bertanya adakah saya tidak terasa ‘downgrade’, dulu Ahli Parlimen, tiba-tiba bertanding DUN, jawapan saya mudah tidak ada yang membezakan sebagai seorang wakil rakyat, tidak ada antara dua darjat, yang membezakan adalah sama ada dia komited menjalankan tugas YB (Yang Berhormat) ataupun tidak,” kata bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohd Puad pernah bergelar Ahli Parlimen selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) di kerusi Parlimen Batu Pahat menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti 12,968 undi.

Beliau bertanding pada PRU13 bagi mempertahankan kerusi itu, namun tewas kepada calon PKR Datuk Mohd Idris Jusi, dengan majoriti 1,524.

Beliau tidak dicalonkan pada PRU14 dan digantikan Ketua Wanita bahagian itu, Haliza Abdullah.

Pada PRN Johor ini, DUN Rengit menyaksikan saingan empat penjuru antara Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menentang calon PKR Khairuddin A Rahim yang memenangi kerusi DUN Senggarang pada PRU-14.

Dua lagi calon bertanding di DUN Rengit ialah Mohd Huzair Lajis yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.