Program TVET Pertanian Mampu Lahirkan Usahawan Tani – Mahdzir

NILAI, 7 Mac – Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang ditawarkan di universiti terutama dalam bidang pertanian mampu melahirkan usahawan tani sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini kerana dengan keadaan perubahan iklim yang tidak menentu selain pandemik COVID-19 yang belum berakhir menyebabkan keperluan yang tinggi kepada sumber makanan sama ada di peringkat negara mahu pun antarabangsa.

“TVET kepada negara sebenarnya sudah setaraf dengan laluan akademik lain, ia merupakan keperluan paling dikehendaki kolej atau universiti dan padan dengan industri. Melihat kepada keperluan sekarang, TVET yang berkaitan pertanian sangat penting.

“Melalui bidang pertanian, anak-anak muda dapat melonjakkan industri komuniti, menghasilkan lebih banyak produk usahawan pertanian serta membuka banyak peluang pekerjaan seiring hasrat kerajaan memperkasakan TVET,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kali ke-19 hari ini.

Mahdzir berkata UCAM yang berada di bawah kementeriannya turut mengangkat niche pertanian dan perladangan sebagai fokus utama selain menerima akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam 19 program pengajian yang ditawarkan institusi berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menggubal dasar baharu berkaitan TVET sekali gus menjenamakan semula pendidikan tersebut bagi menghapuskan persepsi ibu bapa yang menggangap ia sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan terus memperkasakan pelbagai program bagi memastikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin COVID-19.

Mengakui kadar vaksinasi dalam kalangan mereka agak perlahan, beliau berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebagai agensi bertanggungjawab terhadap kebajikan golongan itu mempunyai program berkala yang diteruskan dari masa ke masa bagi membolehkan mereka menerima vaksin.

Setakat semalam, seramai 139,938 daripada keseluruhan 269,347 individu Orang Asli di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 manakala 12,729 individu telah menerima dos penggalak.

Mengulas hasrat Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu Felda, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata keutamaan ketika ini adalah memastikan kesejahteraan rakyat dan tidak perlu diadakan perdebatan.

Ditanya mengenai ada parti yang tidak akan menamakan calon Menteri Besar Johor meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah memasuki fasa akhir kempen, beliau berkata mungkin ada parti yang tidak akan menamakan calon mereka.

“Ada yang tak akan menamakan langsung, tunggu sahaja lah bila mereka akan adakan mesyuarat,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.