Pas Kembali Fitrah Asal Labelkan Orang Lain Yang Tak Mahu Sokong Mereka

JOHOR BAHRU, 7 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan Pas nampaknya seolah mahu kembali ke fitrah asal iaitu melabelkan orang lain dengan pelbagai gelaran jika tidak mengikut atau menyokongnya.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu memberi reaksi demikian mengulas mengenai laporan yang menyatakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang merangkap Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri berkata kurang kesedaran politik Islam di Johor punca mereka tidak mampu menawan negeri itu sejak dahulu lagi.

“Untuk makluman Tan Sri Datuk Seri Hj Hadi, Sistem Pendidikan Agama Islam di Johor adalah yang terbaik. Malah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) merupakan suatu sistem sekolah pendidikan Islam yang ditadbir terus oleh kerajaan Johor melalui Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

“Melaluinya Johor mampu membentuk pelajar dengan keperibadian mulia, berfikiran positif, berdaya kreatif, produktif serta sentiasa berdaya tahan dan berdaya maju.

“Kerana itu, sistem pendidikan ini boleh dikatakan sebagai sistem pendidikan Islam terbaik. Banyak negeri di Malaysia mencontohi Johor. Malah sistem pendidikan Islam Johor terbaik di Asia Tenggara, dan ia merupakan pemangkin utama dalam memberi pendidikan akidah kepada warga Johor,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Tambah Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, jika dikaji sejarah pendidikan Islam di Johor bukan sesuatu yang baharu kerana ianya telah lama dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri Johor terbabit secara langsung dalam sistem pendidikan agama sejak 1895 lagi apabila Sultan Abu Bakar mewujudkan perlembagaan bertulis bagi negeri ini. Sejak daripada tarikh itu, Kerajaan Negeri Johor di bawah pentadbiran Sultan Abu Bakar terus menunjukkan keprihatinan yang mendalam berhubung pendidikan agama.

“Hasil keprihatinan ini, masyarakat Islam negeri Johor meraih manfaat yang besar sehinggalah amalan menghantar anak untuk mengikuti pengajian agama sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Johor,” katanya.

Kerana itu bidasnya, mendakwa rakyat Johor tidak menyokong Pas kerana tidak faham agama adalah salah dan keterlaluan.

“Ini kerana rakyat Johor yang mempunyai asas agama Islam yang baik dan ada kebijaksanaan menilai.

“Kerana itu dalam Ikhtiar BN JOHOR. BN Johor meletakkan Islam sebagai tunggak utama kemakmuran Johor. Pada masa sama keharmonian dan semangat toleransi antara kaum yang telah sebati dalam sanubari Bangsa Johor sentiasa dikukuhkan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, BN Johor kekal komited menegakkan syiar Islam dan kemajmukan Johor.

“Malah BN Johor mahu menaiktaraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke status Kolej Universiti. Institut Tahfiz swasta di Johor melalui Johor Tahfiz Qualiti Annurance (JTQA) akan diperkasakan.

“Ini bukti keutamaan BN Johor dalam memperkukuhkan pendidikan Islam kepada Bangsa Johor.

“Kepada pimpinan Pas, Islam ini milik semua,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.