Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu IPT Asean, Selari Aspirasi Martabatkan Bahasa Melayu – Noraini

PUTRAJAYA, 7 Mac – Cadangan menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-Negara ASEAN selari dengan aspirasi kerajaan bagi memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jawatankuasa tersebut antara lain berperanan untuk merancang pemetaan program kerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN dan program terjemahan serta adaptasi karya-karya ilmu.

Katanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut mengenal pasti 19 universiti di Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi untuk diadakan program-program kerjasama dengan universiti tempatan.

“Dalam hal ini, KPT telah melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek-aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata program pengembangan Bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN ini dapat melonjakkan taraf dan peranan bahasa Melayu sebagai bukan sahaja lingua franca bahkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa bernilai ekonomi di rantau ini, dengan kira-kira 300 juta penutur bahasa Melayu di negara-negara induk bahasa Melayu dan di negara ASEAN lain yang mempunyai komuniti berbahasa Melayu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.