Jangan Lupa… Peristiwa Port Dicksonlah Punca Ketidakstabilan Politik Negara

MUAR, 7 Mac – Rakyat diingatkan agar tidak lupa sejarah ‘Port Dickson’ yang mana kerusi kawasan berkenaan dikosongkan semata-mata bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai ahli Parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata peristiwa berkenaan dilihat menjadi punca kepada ketidakstabilan politik negara sehingga ke hari ini setelah tewasnya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Saya sebutkan ini kerana kami pun tidak selesa…malam 9 Mei apabila tewas BN (Barisan Nasional) termasuk di Johor dan pusat ramai tidak perasan peralihan kuasa berlaku dengan aman damai.

“Yañg patut kita marah sehingga tidak stabilnya negara kita adalah apabila mereka mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson selepas PRU14 lalu. Ada PRK (Pilihan Raya Kecil) ekoran mahkamah seperti di Cameron Highlands, Rantau dan ada yang disebabkan wakil rakyat meninggal dunia.

“Namun kerusi Port Dickson ahli Parlimennya sihat walafiat tetapi hak rakyat dinafikan dan kerusi dikosongkan semata-mata bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini yang sepatutnya kita tengok dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sungai Balang.

Turut bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan serta jentera setempat lain.

Kata Razali lagi, peristiwa Port Dickson adalah punca tekanan kepada perdana menteri ketika itu dan bukannya mana-mana pihak yang lain.

“Itu punca tekanan kepada perdana menteri ketika itu dan bukannya kita…sebab apa…soal peralihan…peralihan yang menyebabkan tekanan kepada PH (Pakatan Harapan) sendiri dan akhirnya mereka pecah. Bersatu pecah ada yang jadi Pejuang dan PKR pun ada yang lompat,” ujarnya.

Tambah Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar, di Johor ini sejarah pembubarannya cukup panjang malah BN pun mahu mengelakķan soal sedemikian.

“Kita bukan angkuh dan bukanlah sombong tetapi kita tidak nampak masa depan Johor dengan suasana sikit-sikit ugut..sikit-sikit merajuk tidak bokeh buat kerja. Kita melihat undang-undang yang ada dan pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) selepas tiga tahun adalah perkara biasa,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.