Zahid Ingatkan Hati-hati Kepakaran Putar Belit Lawan… Agenda BN Bersama Rakyat Pastikan Kestabilan

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Johor yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini perlu berhati-hati dengan kepakaran putar belit mereka yang sudah terbukti sejak PRU-14.

Jelas beliau yang juga Presiden UMNO, agenda penting BN bersama rakyat Johor untuk memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan dikembalikan di Johor pada 12 Mac ini.

“Saya sebolehnya tidak mahu mengulas tentang bekas tokoh politik kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md. Yasin kerana kita ada agenda yang lebih penting.

“Tetapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tidak henti-henti ‘menyeru’ nama saya. Pengerusi PN itu semasa berceramah politik mendakwa dia tidak pernah berniat jadi Perdana Menteri selepas kerajaan fitnah PH tumbang.

“Dia kata saya yang mahu menyokongnya jadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletak jawatan lalu dia pun jadi Perdana Menteri, tetapi dia tidak kata bagaimana proksi-prokasinya berusaha gigih memujuk wakil rakyat bukan PH termasuk daripada UMNO agar menyokongnya jadi Perdana Menteri.”

Bidas Zahid menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, menjanjikan sebuah perpaduan yang jujur dan ikhlas atas nama Melayu dan Islam, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dengan kuasa sebagai Perdana Menteri.

“Mahu memperkukuhkan kedudukan partinya dan jawatannya dengan cuba melemahkan UMNO serta ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO.

“Mungkin kerana itu dia begitu marah kepada saya, pimpinan serta ahli akar umbi UMNO kerana dapat menghidu muslihatnya dan bertindak.”

Dalam hal ini Zahid mengajak untuk fikir sejenak apakah seseorang yang mengaku dirinya tidak pernah berhasrat menjadi Perdana Menteri akan cuba ‘menyogok’ Ahli Parlimen secara terbuka di kaca TV supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri gara-gara terdesak?

Soalnya lagi, apakah seseorang yang tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri dalam kata-kata terakhir kepada pegawai-pegawainya di Putrajaya membayangkan dia akan kembali sebagai Perdana Menteri?

“Apakah seseorang yang tidak pernah mahu menjadi Perdana Menteri dalam ceramah politiknya sempena PRN Johor menyatakan kemungkinan dia akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi?

“Dia mendakwa PPBM tinggalkan PH kerana dalamnya ada Dap yang tidak menyokong dasar-dasar dan hak keistimewaan orang Melayu serta agama Islam.

“Kenyataan itu agak sukar dihadam kerana dia dan PPBM bersama Dap bukan cuma selama 22 bulan, malah saling bermesraan sejak Mac 2017 iaitu sebelum PRU-14 diadakan pada 9 Mei 2018.”

Apa yang pasti tegas Zahid, PPBM hanya keluar PH selepas kekalahan demi kekalahan PH dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK) terutama kekalahan calon PPBM pada PRK Semenyih dan Tanjung Piai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.