Jangan Bincang Isu Dalaman Parti Di Dewan Rakyat – Ahmad Zahid

MUAR, 6 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu dalaman parti itu tidak seharusnya dijadikan bahan perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Beliau berkata pentas terbaik untuk membincangkan isu dalaman UMNO ialah mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

“Biarpun saya menghormati pandangan peribadi tetapi pendirian parti harus dihormati. Parti belum membuat pendirian dan tentunya pendirian ini akan dibincangkan apabila ada waktu yang sesuai,” katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Parit Keroma yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani hari ini.

Ahmad Zahid mengulas ucapan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat baru-baru ini yang dikatakan membidas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung isu tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.

Beliau berkata walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti untuk bercakap mengenai pelbagai perkara di Dewan Rakyat tetapi isu dalaman parti sepatutnya dibincangkan di pentas yang bersesuaian.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu melahirkan keyakinan terhadap kemampuan gabungan tersebut memenangi jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ahmad Zahid juga berharap pengundi Johor tidak mudah terpengaruh dengan ‘serangan bertubi-tubi’ yang sedang disasarkan terhadap BN dan calonnya.

“Kita tahu serangan bertubi-tubi sedang menghala, bukan sahaja kepada produk kita iaitu calon BN tetapi isu nasional dibawa untuk mencemarkan nama baik kita. Kita menjangkakan itu semua namun kita yakin dengan kebijaksanaan pengundi di Johor,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.