BN Bukan Tamak Kuasa Sepertimana Yang Dilabelkan Pihak Lawan, Tegas Ahmad Zahid

MUAR, 6 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac nanti bukanlah sepertimana yang dilabelkan oleh pihak lawan kononnya parti itu tamak kuasa dan sebagainya lagi.

Sebaliknya beliau menekankan dengan tegas bahawa sesebuah negeri memerlukan kestabilan yang merupakan paksi kepada pembangunan yang baik serta melancarkan pelbagai perancangan agenda kepentingan lain untuk rakyat.

“12 Mac ini penentuan….apabila goyah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan tidak mampu membuat keputusan untuk satu-satu usul, ianya amat sukar dan kita tidak mahu sesebuah kerajaan yang ditadbir berlaku sedemikian.

“Kita amat arif kuasa pembubaran dan dengan perkenan kebawah Duli Tuanku Sultan Johor maka Tuanku dengan bijaksana memutuskan selepas habis banjir Tuanku buat keputusan bubar DUN bagi melihat pembangunan di Johor berasaskan kestabilan mesti diperolehi semula.

“Kita bukan mahu bazirkan wang…tamak kuasa…kalau beliau (Datuk Hasni Mohammad) tamak kuasa tentu beliau tunggu yang mana masih mempunyai 400 hari lebih pada penggal ini, namun demi kestabilan Johor beliau ambil keputusan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen PRN DUN Sungai Balang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sarang Buaya Darat di sini, hari ini.

Turut serta calon BN, Selamat Takim dan Datuk Seri Razali Ibrahim yang merupakan Ketua UMNO Muar.

Meneruskan ucapannya, Ahmad Zahid yang berkebolehan bertutur menggunakan loghat jawa seterusnya menambah sesebuah kerajaan negeri tidak boleh berada di bawah tekanan.

“Kita tidak mahu diugut… maka dalam keadaan itu saya bertemu dengan jentera dan pengundi di sini…ini bukan soal tukar baju atau tukar kasut. Apa pun baju baru yang kita pakai kadangkala tidak selesa malah masih selesa yang lama…begitulah BN.

“Dari segi rekod kecemerlangan Johor sebelum ini mempunyai pertumbuhan tertinggi industri dan pelbagai sektor lain sebelum PRU-14. Insya-Allah sama-sama kita kembalikan kegemilangan Johor,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru pengundi di Sungai Balang membuat pilihan yang tepat pada hari mengundi nanti.

“Ini suasana paling sesuai memilih calon kita Selamat Takim, anak tempatan. Dulu orang sini minta anak tempatan dan lelaki dan hari ini saya selaku Pengerusi BN mendengar suara akar umbi di Sungai Balang ini,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.