PRN Johor: ‘Pemimpin Rasuah? Kenapa Nak sekat BN di Johor?’ – Khairy

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan tiada alasan untuk menyekat Barisan Nasional (BN) daripada terus memerintah di Johor, bagi menghalang pemimpin rasuah.

Menurut Khairy, ini kerana Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang memimpin negeri tersebut tidak terpalit dengan kontroversi itu, selain mempunyai kredibiliti yang tinggi serta diterima pengundi.

“Kenapa perlu nak ‘rehatkan’ kita di sini pula… kita parti yang menawarkan Ikhtiar Barisan Nasional (manifesto) untuk rakyat. Tak ada apa-apa atau kena mengena pun dengan pemimpin-pemimpin yang rasuah.

“Sekarang ini ketua parti kita di Johor adalah Datuk Hasni, yang mana kredibiliti dia tinggi, dan pengundi pun terima dia,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan ke Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata kerajaan Persekutuan ketika ini juga dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mempunyai sebarang masalah dari segi salah laku.

“Jadi, saya tak nampak di situ apa yang dimaksudkan (untuk menyekat BN di Johor),” tambah Khairy, menurut laporan dari Astro Awani.

Pada masa yang sama, Khairy berkata setiap parti mempunyai peluang yang sama untuk menambat hati rakyat termasuk parti baharu seperti MUDA.

Justeru beliau berkata, tidak wajar untuk memperlekehkan mana-mana parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Good luck to everyone. Perlu kita buat secara sihat dan kita pun telah mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) yang agak baik… ada peluang untuk mereka beri ceramah walaupun tidaklah besar-besaran.

“Selamat maju jaya kepada semua termasuk MUDA. Beri peluang kepada mereka untuk berkempen, tetapi bila nak undi itu, sudah tentu undilah BN,” kata Khairy sambil ketawa.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.