Kejayaan Pulih Ekonomi, Kestabilan Politik Hasil Kerjasama Erat Pusat-Negeri

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Kejayaan pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial yang sedang dikecapi ketika ini, adalah hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sentiasa berganding bahu menyalurkan keperluan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama erat itu adalah bagi memastikan tiada sesiapapun yang tertinggal, seterusnya menangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

“Pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia, dan Kerajaan tidak pernah alpa dalam menyediakan bantuan daripada segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Dalam usaha membantu Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif, antaranya menerusi Baucar Perlindungan Tenang, Satu Keluarga Satu Rumah, Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST), selain penyediaan Rumah Mampu Milik dan jalur lebar tanpa wayar.

Selain SBST yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun, Perdana Menteri berkata kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS.

Merujuk perkhidmatan pengangkutan awam di Johor, Ismail Sabri berkata sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai Mac, melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian, dengan jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.

Kerajaan turut menawarkan rebat 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS), untuk kereta persendirian golongan B40.

Menyedari kepentingan pendigitalan dalam memudahkan urusan seharian Keluarga Malaysia, beberapa strategi dan inisiatif telah dirangka dan sedang dilaksanakan di beberapa kementerian, misalnya Pembangunan Sistem Janji Temu Klinik (SJTK) di klinik-klinik kesihatan.

Perdana Menteri berkata sistem itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih slot janji temu yang bersesuaian, tanpa perlu hadir ke premis kesihatan.

Menyedari kepentingan jaringan capaian Internet, Ismail Sabri berkata kerajaan komited meningkatkan perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar, dengan melaksanakan inisiatif penyediaan 5G bagi akses lebih pantas dan berkualiti dan membantu komunikasi dalam talian.

“Bagi memperhebatkan kualiti perkhidmatan internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengambil inisiatif memantau kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara, dalam tempoh enam bulan dan projek rintis ini akan dimulakan di Johor melibatkan 3,000 lokasi,” katanya.

Dalam hal ekonomi, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memastikan agensi-agensi berkaitan Pelaburan Langsung Asing (FDI) melaksanakan program bagi memudahkan operasi perniagaan di negara ini.

Menyingkap kejadian bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia termasuk Johor awal tahun ini, beliau berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM1.4 bilion untuk meringankan beban mangsa banjir, dengan mengekalkan bantuan sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor diterajui Hasni, yang memberikan bantuan tambahan RM500 bagi setiap keluarga terkesan dengan bencana itu.

“Saya percaya, sinergi sebegini menunjukkan betapa pentingnya kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelbagai inisiatif diambil bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, antaranya Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Kerja atau PenjanaKerjaya, portal MyFutureJobs, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), Young Employable Student (YES!), Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula.

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bermatlamat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke paras bawah 4.2 peratus, melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion, selaras dengan ‘Penciptaan Peluang Pekerjaan’ sebagai satu teras utama Bajet 2022,” katanya.

Jelajah AKM merupakan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran program 100 Hari AKM yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas, berkonsepkan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Jelajah AKM di Johor bermula Khamis dan berakhir hari ini merangkumi pelbagai aktiviti, antaranya Program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia, gerai usahawan, Citarasa Keluarga Malaysia, program sukan seperti e-sukan dan sukan rakyat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.