UMNO Berlapang Dada Terima Mereka Yang Kembali Kepada Parti

MERSING, 4 Mac – UMNO berlapang dada menerima mereka yang ingin kembali kepada parti itu bagi meneruskan perjuangan dalam membela nasib rakyat, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah parti terbuka yang bukan hanya memperjuang nasib orang Melayu bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“UMNO berlapang dada terima mereka kembali atas dasar perjuangan membela masyarakat Melayu.

“Ya…mereka berada di sana (parti lain) mungkin agak tersasar dahulu tetapi apabila kembali ke pangkal jalan, maknanya bukan sahaja Allah telah buka hati mereka tetapi terima kebenaran bahawa UMNO dan BN merupakan parti yang bukan sahaja dapat memperjuangkan orang Melayu bahkan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis ringkas selepas Ketua Bahagian Bersatu Mersing Laili Yusof mengumumkan keluar parti itu dan berhasrat menyertai UMNO, di Endau hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Endau Mohd Youzaimi Yusof.

Najib pula berkata tindakan Laili mengumumkan keluar Bersatu merupakan satu gambaran yang amat memberangsangkan buat UMNO.

“Sebagai manusia biasa, kita tidak sunyi daripada kekhilafan dan kesilapan serta mesti ada sifat kemaafan sesama insan.

“Justeru, saya dan rakan-rakan dalam BN, kita terima sesiapa yang ingin kembali ke landasan perjuangan bersama kita dan berharap ini akan memberi satu isyarat yang jelas kepada yang lain,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.