PRN: Muhyiddin Perlu Bangun Dari Mimpi Di Siang Hari – Zahid

KOTA TINGGI, 4 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk hanya fokus kepada agenda memulihkan ekonomi negara.

Katanya ini kerana tindakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu yang menawarkan diri untuk menjadi penasihat ekonomi kepada Menteri Besar Johor daripada PN juga adalah suatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Beliau juga ketika ini adalah Pengerusi MPN jadi saya fikir eloklah beliau menasihatkan supaya ekonomi ini pulih semula.

“… tapi kalau beliau menawarkan diri untuk menjadi penasihat kepada poster boy partinya saya fikir beliau eloklah terjaga dari mimpi di siang hari,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi Kota Kecil Timur dan Barat di Johor Jaya, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memberi respon berkenaan calon menteri besar daripada parti lawan yang masih tidak diumumkan meskipun kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah masuk ke minggu kedua.

Menurut beliau, situasi ini secara jelas menunjukkan bahawa tidak ada kesepakatan dalam kalangan mereka malah ianya memberi kelebihan kepada BN kerana parti ini sudah merangka segala persiapan pada PRN ini.

“Saya fikir mereka tidak dapat menamakan calon kerana tidak ada kesepakatan dalam kalangan mereka dan tidak ada keyakinan untuk menang.

“Jadi eloklah untuk tidak menamakan calon-calon DUN di Johor untuk jadi menteri besar saya fikir itu suatu keputusan yang tepat untuk mereka lakukan,” ujar beliau.

Terdahulu, PN menerusi kenyataan Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini dilaporkan enggan mendedahkan nama calon menteri besar malah berkata ia hanya akan diumumkan Muhyiddin.

Sementara itu, PH menerusi juga Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh turut memaklumkan calon menteri besar adalah bukan keutamaan kepada parti itu malah ianya tidak pernah dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.