Tolak Penipuan PH Dan Gagalkrasi PN, Beri Peluang BN Tadbir Johor – Fauziah

PENGERANG, 3 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri mewakili Barisan Nasional (BN) mengajak rakyat di seluruh Johor khususnya di Pengerang untuk menolak parti yang tidak kompeten dalam mengurus tadbir negara.

Katanya, ini kerana di sebalik kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) yang lalu rakyat boleh melihat segala kerosakan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara sebelum ini.

“Masyarakat di Penawar mahukan kemakmuran yang pernah tergendala ketika PH dan PN memerintah Johor, mereka ingin segala kemajuan yang direncana dapat disambung semula oleh BN.

“Kita #SambungYangTergendala dan ia bermula dari Penawar dengan memenangkn BN. Tolaklah penipu PH dan pentadbiran gagalkrasi PN.

“Trek rekod khidmat BN sebelum ini sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen. Termasuk pentadbiran Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar BN beri realiti kepada rakyat bahawa parti ini sahaja yang boleh pacu kestabilan untuk kemakmuran masa depan malah saya percaya DUN Penawar akan menyumbang kepada pembentukan kerajaan BN Johor,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang juga memaklumkan bahawa pengundi pada ketika ini dilihat mengharapkan BN untuk kembali mentadbir Johor ini sepenuhnya bagi membawa negeri ini ke arah kemajuan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

“Momentum sokongan BN berada pada ritma terbaik termasuk jentera, pengundi tradisi dan baharu malah saya amat yakin BN akan menang besar… insya-Allah,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Penawar menyaksikan pertembungan empat penjuru, Fauziah akan menentang calon Mohd Faizal Asmar (PN); Norazila Sanip (PH) dan Rahmattullah Kamilin (Pejuang).

Fauziah antara sembilan orang calon daripada kepimpinan Wanita dan Puteri bahagian yang dicalonkan BN pada PRN kali ini bersama Haslinda Salleh (Tenang), Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).

Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Pada PRU ke-14 yang lalu, penyandang iaitu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mewakili BN menang dengan undian sebanyak 12,330 berbanding pencabar Ahmad Kamah Nor dari PKR yang hanya memperoleh 5,196 undi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.