Musuh Terus Cipta Naratif Burukkan BN… Zahid Tegaskan PRN Mandat Untuk Rakyat

JOHOR BAHRU, 3 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa musuh BN terus cuba mencipta naratif konon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan kerana ketamakan BN dan para pemimpinnya.

Maka kata Zahid yang juga Presiden UMNO, adalah wajar terus perjelaskan usaha BN mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi demi kepentingan negeri Johor semata-mata.

“Tidak pernah ia berkait keuntungan individu, parti politik mahupun kumpulan tertentu seperti yang ditohmahkan.

“BN memulangkan mandat kepada rakyat Johor untuk memilih kerajaan baharu semasa pemimpinnya sebagai Menteri Besar.

“Justeru tidak logik apabila BN dikatakan melepaskan pegangannya ekoran tamak dan mengusahakan kepentingannya,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Soalnya, bukankah BN sewajarnya mempertahankan kerajaan Johor sedia ada jika ‘sangap’ kuasa, kedudukan dan jawatan?

“Pemimpin BN merupakan Menteri Besar Johor, maka tiada apa kedudukan yang boleh ‘ditamakkan’ lagi. Saksikan juga seramai 223 calon daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.

“BN sememangnya menjangkakan cabaran tersebut, namun demi kepentingan rakyat Johor itulah maksud sebuah keberanian. Kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih dan semoga sebuah kerajaan parti dominan akan mentadbir negeri itu.”

Tegasnya, faktor utama PRN Johor perlu diadakan ekoran ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kerajaan Johor.

“Kerajaan Johor tidak boleh berfungsi dengan pentadbirannya sentiasa diselubungi ancaman dan ugutan musuh dalam selimut. Segala perancangan memerlukan ehsan mereka yang sentiasa mencongak kepentingan politik dan mengugut akan tekan butang.

“Belanjawan Johor 2022 diluluskan dengan 27 ADUN menyokong, manakala 27 lagi berkecuali, sementara dua tidak hadir. Ini bermaksud Johor pada setiap masa berdepan risiko gagal mencapai kelulusan DUN yang diperlukan untuk negeri itu.

“Musuh BN boleh berdolak-dalik itu tidak akan berlaku, tetapi apakah jaminan disebalik sifat politik mereka yang keterlaluan. Johor tidak boleh terus berada dalam ‘uncertainty’. Peranan pembangkang diperlukan sebagai ‘check and balance’. Bagaimanapun tidak sehingga pentadbiran kerajaan negeri sentiasa dalam risiko ugutan politik mereka.”

Terang Zahid, satu lagi naratif tidak logik diulang-ulang konon PRN Johor untuk membebaskan pemimpin BN daripada pendakwaan mahkamah.

“Pendakwaan mahkamah yang mereka sendiri kenakan terhadap pemimpin BN sejurus mereka menang PRU-14 pada 9 Mei 2018. Telah banyak kali dijelaskan pimpinan BN yang berdepan pendakwaan terpilih menggenggam prinsip berani kerana benar.

“PRN Melaka, PRN Sarawak terbukti tidak memberi kesan kepada mahkamah dan begitu juga pada PRN Johor ini. Sebaliknya memberi kesan kepada yang pernah menipu rakyat, membohongi rakyat dan menang pilihan raya dengan fitnah.”

Bidasnya, dakyah mereka itu sebenarnya memperlihatkan kerungsingan mereka BN akan menang besar.

“Mengapa mereka jadi begitu seluruh rakyat Malaysia memahaminya natijah takut bayang-bayang sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.