Pilihlah BN, Tolak Campuran Parti Politik… Tidak Akan Bawa Kestabilan – Baharudin

PASIR GUDANG, 2 Mac – Campuran parti politik tidak akan memberikan manfaat kepada pembentukan kerajaan negeri kerana ianya tidak menjamin kestabilan, kata Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib.

Katanya, rakyat perlu mengambil sebagai iktibar dengan situasi yang pernah terjadi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila berlaku pertukaran kerajaan disebabkan pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sebuah gabungan di antara parti-parti politik.

“Rakyat khususnya pengundi di Johor perlu pilih BN kerana selain daripada itu tidak akan ada kestabilan, campuran politik tidak akan kukuh.

“Kalau sebelum ini kita pernah rasa PH, kemudian Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Jelas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu lagi, BN berbeza berbanding parti lain kerana sudah berpengalaman dalam membawa kemajuan dan pembangunan negara sejak 6 dekad yang lalu.

“…dengan BN yang dahulunya kita sudah ada rekod yang baik untuk membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kita kena balik kepada dahulu sebab sudah pernah merasa keadaan kemakmuran itu daripada kerajaan BN,” tegas beliau.

Terdahulu, Baharudin pada Pilihan Raya Negeri ini akan berdepan lima penjuru daripada Tazul Arifin (PN); Mahaya Ahad (Parti Pejuang); Syed Othman Abdullah (PH) dan Mohamed Ridza Busu (Warisan).

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu dan ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.