Perjuangan UMNO (Kepada pendokong UMNO yang sedang berjuang di Johor)

Perjuangan UMNO
(Kepada pendokong UMNO yang sedang berjuang di Johor)

Mengapa kita berjuang dalam UMNO? Pastinya kita perlu merujuk kepada Perlembagaan UMNO Fasal 3 Asas Dan Tujuan bagi mencari jawapan iaitu yang berbunyi:

“UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara”

Seterusnya terdapat Fasal 3.1 hingga Fasal 3.6 yang memaktubkan enam hala tuju perjuangan dengan jelas.

Inilah sebab ahli UMNO berjuang siang, malam, pagi, petang, subuh dah senja (SMPPSS) pada setiap hari.


Semoga Allah memberkati dan sentiasa memberikan kejayaan dalam perjuangan kita.

Dua rangkap pantun untuk renungan:

Bandar Pontian, ada hikayat,
Kisah bersemi, cerita bersama;
UMNO berjuang, untuk rakyat,
Dulu kini, dan selama-lama.

Pemimpin mahir, lagi tersohor,
Bersamping songket, berkeris lama;
UMNO lahir, di Istana Johor,
Ayuh bangkit, menang bersama.

Di hadapan kita ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sangat penting untuk Barisan Nasional menangi.

Kita perlu dengan gigih membantu 37 calon UMNO, 15 calon MCA dan 4 calon MIC untuk menang 2/3 atau lebih 38 kerusi DUN.

Tiada yang mustahil jika perjuangan disertai dengan perancangan dan pelaksanaan yang teliti.

Di hadapan kita ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal kunjung tiba.

Oleh itu, demi kestabilan masa depan serta kestabilan dan kemakmuran untuk kita, anak, cucu dan generasi akan datang, ayuh terus merapatkan barisan serta bangkit bersama berjuang.

Walau pun ketika berjuang itu tiada siapa yang peduli, tiada siapa yang memuji, tiada siapa yang mengerti, tiada siapa yang bertanya khabar, tetap kita bangun dan terus berlari menuju cita-cita murni pada setiap hari seperti yang telah digariskan oleh Perlembagaan UMNO.

Justeru perjuangan kita bukan untuk dipuji, tidak juga untuk dikeji.

Namun lambat laun generasi masa depan akan mengerti juga dengan berkata pada suatu masa nanti:

“Untungnya aku ada parti di negara ini yang bernama UMNO, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Jika tiada, entah apalah akan terjadi kepada perjuangan yang panjang dan penuh onak duri cabaran demi memartabatkan agama, bangsa dan negara tercinta.”

Hidup UMNO
Hidup Barisan
Hidup Rakyat

UMNO ONLINE

Datuk Seri Ahmad bin Maslan
Setiausaha Agung UMNO merangkap
Ahli Parlimen Pontian
02 Mac 2022

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.