Lanjutan Ambil Dos Penggalak Sehingga 31 Mac Tiada Kaitan Dengan PRN Johor – Khairy

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Langkah melanjutkan tempoh pengambilan dos penggalak kepada penerima Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas sehingga 31 Mac ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sebaliknya ia adalah bertujuan memberikan masa kepada dua golongan itu untuk melengkapkan suntikan dos penggalak mereka, memandangkan masih ramai golongan berkenaan belum mendapatkannya.

“Ada juga banyak permintaan dari golongan ini supaya dilanjutkan tempoh untuk mereka mengambil dos penggalak ini, ini adalah lanjutan terakhir, telah muktamad, jika sehingga 31 Mac mereka masih tidak ambil dos penggalak, status vaksin mereka adalah tidak lengkap,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang mahu tahu apakah alasan lanjutan tempoh mengambil dos penggalak bagi dua golongan itu sehingga 31 Mac ada kena mengena dengan PRN Johor pada 12 Mac ini.

Sementara itu Khairy berkata langkah membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara jumpa terus dan memberi pilihan vaksin dos penggalak, bertujuan membantu meningkatkan jumlah penerima dos penggalak dalam negara.

Sebelum ini KKM memutuskan penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas dan inidvidu berusia 18 tahun ke atas yang menerima vaksin jenis Sinovac perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Feb lepas, kerana selepas tarikh berkenaan status vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera menunjukkan status tidak lengkap.

Sementara itu bagi vaksin kanak-kanak 5 hingga 11 tahun, Khairy berkata Sarawak menjadi negeri penerima tertinggi vaksin bagi golongan itu apabila 57 peratus kanak-kanaknya telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Menjawab soalan asal Oscar Lin Chai Yew (PH-Sibu) yang mahu kementerian menyatakan keseriusan Omicron berbanding dengan varian lain, Khairy berkata walaupun peningkatan mendadak direkodkan, lebih 99 peratus kes harian yang dicatatkan adalah dalam kategori 1 dan 2 sahaja.

“Walaupun terdapat trend peningkatan kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron ini, kadar discaj dari hospital juga naik dengan mendadak memandangkan kadar sembuh yang tinggi dan tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan,” katanya.

Katanya berbanding dengan varian Delta, varian Omicron lebih suka menjangkiti dan membiak pada bahagian atas saluran pernafasan dan sifat ini memberikan nilai tambah kepada keupayaannya untuk menjangkiti secara mudah dan pantas.

Di samping itu juga katanya, varian Omicron didapati kurang berkapasiti untuk menjangkiti tisu paru-paru dan ini menjelaskan mengapa individu dijangkiti varian berkenaan mempunyai jangkitan lebih ringan berbanding varian Delta.

Menurut Khairy berlaku peningkatan jumlah pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kes kematian harian sejak minggu epid kelima, namun ia adalah 80 hingga 90 peratus lebih rendah berbanding kes pada Ogos tahun lepas ketika penularan gelombang Delta, walaupun kes pada ketika ini lebih tinggi.

“Antara faktor-faktornya adalah kerana 78.9 peratus populasi Malaysia telah menerima vaksinasi lengkap; kadar regresi pesakit COVID-19 kepada kategori 3 hingga 5 yang rendah, kadar sembuh yang tinggi, serta tempoh rawatan di hospital yang tidak berpanjangan,” katanya.

KKM juga katanya telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menghadapi cabaran gelombang Omicron ini termasuk pelaksanaan pemberian dos penggalak, menambah baik pengurusan COVID-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan dan usaha sama dengan fasiliti kesihatan swasta.

Langkah lain ialah membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway bagi tujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi pada peringkat awal jangkitan dan mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF 2.0) bermula 7 Feb lepas. – BERNAMA