Ikhtiar BN Bukan Janji Kosong… Banding Dengan Parti Lain Yang Manifesto Asal Ada – Khaled


JOHOR BAHRU, 2 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar membuat perbandingan dengan melihat kepada manifesto Ikhtiar BN dan parti-parti lain yang asal ada.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang pernah berhadapan dengan pencapaian sangat bermakna bagi Malaysia, maka Johor memang memerlukan sebuah manifesto yang dapat memenuhi keperluannya.

“Negeri Johor memerlukan manifesto yang betul-betul bermakna, yang betul-betul boleh memastikan tahap kedudukan Johor yang bukan biasa-biasa dan sudah tentulah manifesto ini juga mencerminkan tahap serta kemampuan dan keupayaan mereka yang akan menjaya melaksanakannya kerana Ikhtiar BN bukannya satu manifesto yang berbentuk janji-janji kosong.

“Jadi saya berharap rakyat yakin terhadap manifesto yang dibentangkan BN kerana negeri ini memerlukan perancangan yang betul-betul pada tahap yang sesuai dan bukan asalkan ada sebaliknya manifesto yang betul-betul selari dengan keperluan Johor dan yang boleh membongkar potensi Johor sebagaimana dibentangkan oleh Barisan Nasional (BN),” katanya.

Jelas beliau, perkara lain yang perlu difikirkan juga adalah kemampuan parti-parti yang bertanding dalam PRN ini untuk melaksanakan manifesto yang dibentang.


“Kita yakin manifesto ini mampu dilaksanakan kerana calon-calon BN adalah terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan pernah ada dalam kerajaan Negeri Johor.

“Mungkin kalau ada parti lain bentang manifesto, kita tak tahu ia dipetik daripada awangan, mampu dilaksanakan atau tidak kerana mereka ini tak pernah berada atau menerajui apa-apa jawatan dalam kerajaan.

“Apa yang dibentangkan oleh BN ialah sesuatu perancangan yang memang sudah ada hanya nak melaksanakan sahaja dan berbeza dengan PPBM, sebagaimana Tan Sri Mahyuddin maklumkan kalau dah Perikatan Nasional (PN) menang lantiklah dia jadi penasihat ekonomi… baru nak rancang sedangkan kita tak fikir kita boleh tunggu kerana kehidupan masyarakat yang betul-betul merosot.”

Dilaporkan, semalam BN melancarkan Ikhtiar BN Johor dengan lima tawaran kepada rakyat Johor merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksana reformasi politik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.