Hishamuddin Harap Rapatkan Barisan, Teruskan Kerja Keras Demi Kemenangan

PALOH, 2 Mac – Bendahari Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan keyakinan BN akan kembali mendapat mandat dan menjadi pilihan rakyat.

Beliau berkata di Sembrong ini terdapat dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Kahang dan Paloh, maka tentunya jentera parti berusaha semaksima demi kemenangan BN.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, BN kalah dengan 700 undi saja namun walaupun PH menang, sehingga sekarang ini tiada apa yang dilakukan oleh mereka (PH). 

“Walaupun berbagai alasan yang diberikan wakil rakyat pembangkang semasa mereka berkuasa dulu namun hujah-hujah sebegitu tidak laku lagi, mereka masih dengan janji-janji kosong yang tidak berasas,” tegasnya. 

Dalam masa yang sama, Hishammudin berharap agar jentera parti akan meneruskan gerak kerja sehinggalah hari pengundian.

“Saya harap kali ini kita dapat merapatkan barisan serta memastikan Sembrong menang iaitu pengundi tidak melihat warna kulit, agama dan latar belakang calon.

“Kelainan yang ada dalam calon BN di Sembrong adalah kekuatan yang tentunya kita harap kekuatan itu akan diterima oleh orang ramai supaya dapat pastikan calon kita ini menang pada tarikh pembuangan undi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Muhibbah, Paloh, Sembrong, hari ini.

Turut hadir calon bagi DUN Paloh, Lee Ting Han. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.