Warisan Tiada Hala Tuju, Di Sabah Makin Berpecah Tapi Masuk PRN Johor – Bung Moktar


PASIR GUDANG, 1 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mempersoal tindakan parti Warisan yang menyertai beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, ini kerana kedudukan parti itu di Sabah juga ketika ini tidak kukuh berdasarkan tindakan beberapa pimpinan mereka yang hilang kepercayaan dengan kekuatan parti itu terutama selepas kekalahan pada PRN Sabah.

“Saya melihat bahawa di Sabah pun Warisan tidak boleh bergerak aktif sebab apabila tewas pada PRN Sabah banyak pemimpin mereka yang telah hilang keyakinan cuma pada saya dalam negara kita ini yang mengamalkan sistem demokrasi kita merayakan kepelbagaian parti untuk bertanding saya tidak ada halangan.

“Walaubagaimanapun rakyat Sabah yang berada di Johor perlu menentukan masa depan dan hala tuju yang sebenarnya Warisan hanya bertanding enam kerusi dan saya tidak nampak hala tuju itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama masyarakat Sabah yang sudah bermastautin di negeri ini di Pasar Maufakat Sabah yang diadakan baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sementara itu turut memaklumkan bahawa beliau menerima respon positif daripada masyarakat Sabah yang menyokong kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya berkempen di kesemua tempat iaitu di Parlimen Tebrau dan Pasir Gudang bukan hanya masyarakat Sabah bahkan orang Johor telah memberikan respon yang baik kerana rakyat Johor memerlukan kerajaan yang stabil bagi menentukan pembangunan.

“Kebetulan saya mengadakan pertemuan dengan masyarakat Sabah selama berpuluh tahun sehingga menjadi pengundi di sini. Saya berbesar hati dan amat puas kerana mereka sudah memahami tentang apa yang kita sudah maklumkan sebab UMNO dan BN ini parti yang mengutamakan kestabilan ekonomi, politik, ketenteraman awam dan menstabilkan masyarakat itu sendiri.

“Dengan adanya kejayaan yang insya-Allah bakal diperoleh oleh BN sudah tentu negeri Johor akan makmur dan orang Sabah di sini akan menerima limpahan yang sama dalam kemakmuran tersebut,” ujar beliau.

Terdahulu, Warisan yang sebelum ini menggunakan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ pada PRN negeri itu menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan parti itu bertanding di enam DUN Johor iaitu Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu, dan Permas.

Untuk rekod pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.