Ikhtiar BN Johor Manifesto Realistik, Tidak Janji Bulan Bintang – Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap manifesto yang disebut sebagai Ikhtiar BN Johor merupakan manifesto yang realistik, berwibawa dan bertanggungjawab.

Ujarnya yang juga Presiden UMNO, ia tidak menjanjikan bulan dan bintang sepertimana manifesto Pakatan Harapan (PH) yang terbukti gagal ditunaikan.

“Ikhtiar BN Johor ialah manifesto yang menyeluruh untuk membina masa depan dan kestabilan negeri Johor.

“Ikhtiar ini menunjukkan BN mempunyai visi dan misi yang lebih jelas untuk memajukan negeri Johor.

“Lesen bank digital dan penubuhan IJEC misalnya menunjukkan masa depan Johor akan lebih cerah di bawah BN,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Ujar Zahid, ikhtiar ini menyerlahkan kepimpinan BN yang prihatin terhadap pembinaan sosio ekonomi, sosio budaya dan sosio politik yang matang dan berprestasi.

“Ternyata inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan bangsa Johor untuk bergerak hadapan.

“Ikhtiar BN Johor bersifat inklusif turut melibatkan penyertaan orang muda, reformasi ekonomi, sosial dan politik sebenar.

“Ayuh bangsa Johor, bangkitlah bersama BN Johor,” katanya lagi.

Dilaporkan, hari ini BN Johor menawarkan lima ikhtiar utama sebagai usaha berterusan bagi memakmurkan negeri itu.

Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online