Hanya Menunggu Mandat Rakyat, BN Sedia Kembalikan Kegemilangan Johor – Hasni

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa BN komited untuk menjadikan Johor kembali gemilang dengan platform lima ikhtiar utama telah tersedia dan hanya menunggu mandat dari rakyat sahaja.

Katanya, pembangunan Johor terencat apabila 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir yang menjadikan Johor mundur ke belakang, malah kedaulatannya terganggu dan ekonomi terjejas.

“BN tekad untuk mengembalikan Johor sebagai peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara sekiranya diberi mandat pada pilihan raya ini dan memperkukuhkan kekuatan setiap daerah, meningkatkan daya saing sektor-sektor perniagaan selain mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Beliau yang juga calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Benut berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Ikhtiar BN Johor yang dilaksanakan sempena PRN terbabit.

Jelas Hasni lagi, BN turut berhasrat memajukan Pelabuhan Batu Pahat, mewujudkan projek berasakan gas dan perkapalan di Muar, melonjakkan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia serta membangunkan Mersing sebagai pengeluar produk pertanian yang penting negara.

“Kekuatan ekonomi tempatan daerah-daerah telah dikenal pasti, ia hanya perlu menunggu mandat baru rakyat untuk kita laksanakan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh pengundian awal pada 8 Mac.

Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.