Tuduhan Dangkal Kaitkan Calon BN Dengan Kluster Mahkamah – Jefridin

TANJUNG PIAI, 28 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan menolak dakwaan Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mengatakan calon-calon BN adalah penyokong kluster mahkamah.

Tegasnya, untuk menuduh calon-calon BN sebagai penyokong mahkamah adalah satu tindakan yang dangkal bagi seorang pemimpin yang dihormati.

“Saya rasa apabila tuduhan mengatakan calon-calon BN penyokong kluster mahkamah adalah satu yang tidak adil bagi rakyat Johor kerana rakyat tahu bahawa pemimpin UMNO/BN sedang menghadapi kes mahkamah akibat pendakwaan politik dan mereka ingin mencari keadilan di mahkamah.

“Saya menafikan sama sekali, di Johor pimpinannya berbeza dan tidak ada kaitan dengan kluster yang disebutkan. PRN ini akibat ketidakseimbangan dan ketidakstabilan dalam DUN, maka keputusan harus diserahkan kepada rakyat dan tidak ada kaitan dengan cerita-cerita di Pusat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai menjelaskan, semenjak Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Perdana Menteri, tidak ada seorang pimpinan UMNO meminta pertolongan dari beliau.

“Tidak nampak pemimpin-pemimpin UMNO yang dihadapkan ke mahkamah itu mencari jalan ringkas dan meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengeluarkan kes-kes tersebut.

“Ini tidak pernah terjadi sedangkan mereka pergi setiap hari ke mahkamah dan dibicarakan. Selagi belum habis proses perbicaraan mereka tidak boleh dikatakan bersalah atau banduan dan sebagainya. 

“Sebaliknya kita pernah mendengar kes-kes yang digugurkan oleh kerajaan PH dan itu adalah kenyataan yang benar,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.