Penerimaan Pelbagai Kaum, BN Harapan Pengundi Johor – Pandak

ISKANDAR PUTERI, 28 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad optimis penerimaan rakyat dalam kalangan pelbagai kaum dan latar belakang untuk memberikan semula mandat dalam mentadbir negeri kepada parti gabungan ini.

Katanya ini berdasarkan respon daripada masyarakat yang menerima kehadiran beliau dengan baik malah meluahkan harapan kemenangan akan berpihak kepada BN bagi meneruskan agenda kemajuan negeri.

“Ahamdulillah selepas penamaan kita terus gerak berkempen jumpa dengan pengundi yang sangat menggembirakan apabila saya ke tempat masyarakat Cina, India dan Melayu.

“Mereka menerima kehadiran saya ini dalam keadaan terbuka dan wajah mereka kita lihat yang mengharapkan sesuatu daripada BN.

“Saya berasa yakin dengan penerimaan rakyat di sini yang mahukan suatu perubahan di mana kita mengekalkan tradisi BN membela,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Komuniti Sejahtera Parlimen Iskandar Puteri yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A.Malik.

Beliau yang juga Setiausaha Kerja UMNO Negeri Johor itu turut berharap pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini dapat membuka mata rakyat kepentingan memilih parti yang berpengalaman dah konsisten berkhidmat kepada rakyat.

“Pilihan raya dahulu dimenangi oleh PH kemudiannya tidak ada kestabilan sehingga menjejaskan ekonomi, kita juga sedia maklum sejak mereka tadbir rakyat tidak merasakan apa-apa termasuk pembaharuan atau pembangunan yang dibuat.

“Apatah lagi ketika negara berdepan COVID-19 rakyat tidak nampak pemimpin PH ini malah sekiranya ada bencana atau malapetaka yang berlaku di kawasan tertentu BN yang kehadapan dalam membantu jadi saya harap rakyat dapat memilih kepimpinan BN bagi menjamin masa hadapan mereka,” ujar beliau.

DUN Kota Iskandar ini menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk Pandak; Dzulkelfy Ahmad (Pakatan Harapan); Samsudin Ismail (Perikatan Nasional); Dr Zaini Abu Bakar (Pejuang) dan R. Arangkannal (PSM). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.