Mohd Ali Gesa Kerajaan Negeri Segerakan Pendigitalan Melaka

MELAKA, 28 Feb – Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menggesa kerajaan negeri agar segera melaksanakan aspek pendigitalan dalam usaha mengubah negeri berkenaan ke arah bandar raya pintar berteknologi.

Beliau berkata justeru usaha pemerkasaan aplikasi pintar, kandungan digital serta analitis data raya negeri perlu dipergiatkan untuk meningkatkan tadbir urus dan penyampaian kerajaan negeri.

“Saya difahamkan kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah bekerjasama dengan Malaysian Industry-Government Group For High Technology (MIGHT) dalam menyediakan SMART Melaka Bluperint 2035 yang akan diterbitkan pada suku pertama 2022 ini.

“Harapan saya agar dokumen perancangan tersebut dijadikan sebagai rujukan dan diguna pakai oleh semua jabatan dan agensi untuk menyemarakkan inisiatif pendigitalan negeri Melaka,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata agenda digital kerajaan negeri hendaklah memberi fokus kepada kerja-kerja pemantapan infrastruktur telekomunikasi yang akan meningkatkan kualiti akses dan kapasiti capaian rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi melalui peningkatan keupayaan penuh 4G, seterusnya mempelopori bidang teknologi 5G.

Beliau berkata dalam perancangan untuk menjadi sebuah negeri pintar juga, apa yang perlu ditekankan ialah usaha ke arah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta memelihara alam sekitar melalui kepintaran teknologi yang bakal digunakan.

“Oleh itu, saya berharap agar kerajaan negeri menerusi agensi-agensi kerajaan dapat mengambil peluang ini untuk melaksanakan kerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi meningkatkan keupayaan sumber sedia ada mahupun meneroka bidang-bidang baharu yang boleh meningkatkan pendapatan negeri dan rakyat.

“Suka juga saya mencadangkan supaya kerajaan negeri memanfaatkan semula status MSC Malaysia Cybercentre@MITC untuk menarik pelaburan dalam bidang berkaitan Industri 4.0, Internot of Things (IOT) dan sebagainya,” katanya.

Katanya kerajaan negeri perlu memberi fokus untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi termasuk berkaitan teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang mampu menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi menjana pendapatan tinggi kepada rakyat Melaka.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya melaksanakan inisiatif untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi seperti teknologi kereta elektrik (EV) ke Melaka baru-baru ini.

Mohd Ali turut mencadangkan agar kerajaan negeri menjalankan kajian mengenai potensi Melaka menjadi hab industri pertanian berteknologi tinggi bagi membekalkan sumber makanan dalam usaha mengurangkan import makanan.

Beliau berkata walaupun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka pada 2020 menguncup 5.9 peratus susulan pandemik COVID-19, namun tetapi sektor pertanian menunjukkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus.

“Saya menyeru agar aset-aset terbiar yang ada di Melaka seperti tanah kerajaan, tanah waqaf dan bangunan terbiar dapat diaktifkan penggunaannya bagi menjana ekonomi yang dapat memberi pulangan kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ali berkata kebergantungan terhadap model ekonomi lama perlu dikaji semula, malah sudah banyak negara di rantau ini beralih kepada ekonomi digital dan ekonomi gig yang menjadi bualan dalam kalangan pemain industri ketika ini.

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri agar menggiatkan usaha untuk terus menggalakkan perkembangan sektor ekonomi gig di Melaka melalui perancangan dasar-dasar baharu.

“Industri ini sangat pesat berkembang dan sudah pasti memberi pelbagai peluang pendapatan kepada rakyat terutamanya buat anak-anak muda,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.