Martabatkan Bahasa Melayu Dalam Negara, Di Peringkat Antarabangsa – Armand

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar pimpinan utama negara bertutur dalam Bahasa Melayu.

Ini adalah bagi semua urusan rasmi kerajaan di dalam dan luar negara termasuk persidangan antarabangsa dalam masa sama tidak menghalang pengunaan bahasa inggeris mengikut situasi negara yang dikunjungi.

“Bagi saya ini salah satu cara bagi negara kita memartabatkan Bahasa Melayu diperingkat antarabangsa, ini adalah salah satu langkah yang pro aktif bagi memperkenalkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Ujarnya, jika dikaji, negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Rusia, Jerman dan banyak lagi yang mengunakan bahasa kebangsaan mereka pada siri lawatan rasmi ke mana-mana negara.

“Saya setuju dengan pendapat Dewan Bahasa Dan Pustaka serta CUEPACS dimana ianya bukan langkah kebelakang dan masalah kerana kecanggihan teknologi ketika ini tidak menghalang untuk menterjemahkan bahasa Melayu dalam tempoh singkat dalam apa jua bahasa yang digunakan.

“Sama-sama kita terus martabatkan bahasa Melayu kita,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Negara.

Dilaporkan, Perdana Menteri telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan terbaharu, Thailand. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.