Jentera Harus Berkerjasama… Kuat, Mantap Untuk Kemenangan BN- Mohamad Hasan

MACHAP, 28 Feb – Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap jentera Barisan Nasional (BN) terus berkerja lebih kuat dan bekerjasama dengan jentera tempatan.

Menurutnya, jentera tempatan memang sudah mantap dan mahir selok-belok pengundi serta kawasan di sini, ianya turut dibantu jentera-jentera BN negeri angkat.

“Kami datang ke sini membantu jentera tempatan. Jentera tempatan memang sudah mantap tetapi banyak lagi perkara dilakukan seperti menghubungi pengundi luar dan paling penting adalah kemasukan pengundi-pengundi baharu ke dalam daftar pengundi yang banyak di seluruh kawasan-kawasan Johor ini.

“Nampaknya gerak kerja jentera di tempat ini baik dengan disusun kerja yang fokus diperingkat Pusat Daerah Mengundi (PDM). Gerak kerja mesti dijalankan diperingkat PDM kerana ia akan menentukan kalah dan menangnya calon BN.

“Di Simpang Renggam ini jentera angkatnya dari Negeri Sembilan dan telah memberikan kepercayaan kepada UMNO Bahagian Jempol, Jelebu dan Port Dickson untuk membantu, telah berkampung di sini dan berikan kerjasama membantu jentera tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Balai Islam, Kampung Bukit Batu, Machap, hari ini, di sini.

Turut hadir calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah serta semua jentera tempatan dan Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan bahawa jentera BN harus melaksanakan kajian sikap bagi pengundi muda.

“Pengundi baharu tidak pernah diadakan kajian sikapnya, malah bukan saja UMNO tetapi parti-parti lain juga berhadapan dengan pengundi yang belum tahu dan mereka ini ‘first time votes’ serta tidak dapat dijangkakan.

“DUN Machap ini terdapat lebih 15 ribu tambahan pengundi baharu dan ia membebankan jentera sedia ada dan mana negeri-negeri angkat yang datang boleh memberikan bantuan serta meringankan sedikit tanggungjawab dan tugas yang terpaksa dipikul oleh jentera tempatan,” katanya lagi.

Seterusnya katanya Mohamad lagi, pengundi baharu yang berdaftar secara automatik di Johor ini lebih 700 ribu dan di setiap DUN terdapat pengundi banyak baharu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.