Zahid Hamidi Keluarkan Notis Tuntutan Terhadap Dr Mahathir, Muhyiddin

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan notis tuntutan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tohmahan serta kenyataan yang didakwa berbaur fitnah ke atasnya.

Perkara itu dinyatakan dalam dua kenyataan media oleh Tetuan Shahrul Hamidi dan Haziq, yang mewakili Ahmad Zahid.

Dr Mahathir didakwa membuat kenyataan terbabit dalam sesi soal jawab selepas Pelancaran Aspirasi Pejuang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Putrajaya pada 23 Feb lepas manakala Muhyiddin dalam ucapannya di Felda Tenggaroh, Johor pada 16 Feb.

Susulan itu, suatu notis tuntutan dikeluarkan serta diserahkan kepada Dr Mahathir dan Muhyiddin masing-masing pada 25 dan 23 Feb secara kendiri selain Pos Berdaftar.

“Sehingga kini, kami masih belum menerima apa-apa jawapan,” menurut firma guaman tersebut dalam kenyataan itu.

Notis itu antaranya menuntut supaya kedua-dua pemimpin menghentikan, memadam dan menurunkan penerbitan kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari.

Selain itu, ia menuntut suatu permohonan maaf secara bertulis dan terbuka diterbitkan kepada Ahmad Zahid serta aku janji tidak akan mengulangi kenyataan sama. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.