PRN Johor: BN Tetap Kerja Keras Pastikan Kemenangan – Najib

JOHOR BAHRU, 27 Feb – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun lebih ramai calon bertanding dilihat memberi kelebihan kepada BN tetapi baginya parti itu masih perlu bekerja keras untuk menang.

“‘The More The Merrier’… kita rasa lebih ramai calon kemungkinan lebih baik peluang untuk BN, tetapi kita tidak boleh merasakan terlalu optimis. Kita mesti bekerja keras dan yakin bahawa kita ini menawarkan agenda yang terbaik untuk rakyat. Kita mesti bersikap rendah diri, bahawa kita ini sedang meminta mandat daripada rakyat. Kita serah diri kita kepada rakyat supaya rakyat buat penilaian yang bijak,” katanya ketika ditemui di Taman Cempaka di sini.

Beliau berada di situ bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Ramlee Bohani yang merupakan calon BN bagi DUN Kempas.

Najib berkata berkata sambutan hangat yang diterimanya sewaktu meluangkan masa bersantai bersama penduduk di Taman Cempaka dianggap sebagai manifestasi kepada peningkatan sokongan terhadap BN.

Selain Ramlee, turut bertanding di DUN Kempas, yang terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru, ialah Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan dan Nur Faizal Abdullah daripada Perikatan Nasional.

Tiga lagi adalah calon Bebas iaitu guru sekolah swasta Mohd Azwan Abd Rahman, bekas ketua kampung Mohd Hambali Munadi dan kontraktor Mohd Suhimi A Rahman.

Namun, tumpuan lebih kepada Nornekman Osman daripada Parti Pejuang Tanah Air yang merupakan anak kepada penyandang kerusi itu dan bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.