PRN Johor: BN Beri Tawaran Terbaik Demi Kestabilan Masa Depan – Ahmad Zahid

AYER HITAM, 27 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin tawaran baharu yang akan dibuat parti dapat menarik semua golongan pengundi di negeri Johor.

Menurutnya, dalam ikhtiar atau aku janji yang BN akan lancarkan nanti mengandungi beberapa elemen untuk semua pengundi.

“Terutamanya elemen untuk memberikan harapan dan hidangan sesuatu yang baharu kepada pengundi yang pertama kali terutamanya pengundi-pengundi muda berumur 18 hingga 21 tahun dan pengundi yang belum berdaftar sebelum ini.

“Apabila ikhtiar atau aku janji/manifesto ini diumumkan ia akan dapat mewujudkan sebuah negeri yang stabil di Malaysia dari segi politiknya. BN akan berazam di bawah kepimpinan menteri besar bagi memimpin kerajaan negeri supaya meletakkan semula negeri Johor sebagai negeri nombor satu di Malaysia dari segi pelaburan asing dalam negeri.

“Ditambah pula dengan peluang-peluang pekerjaan serta mewujudkan ramai usahawan yang terdiri dari generasi muda termasuk juga di kawasan-kawasan Felda, menawarkan rumah generasi kedua dikalangan peneroka muda dan insfrastruktur; serta insiatif baharu yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ayer Hitam Barat, di sini.

Tambah Ahmad Zahid, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, BN telah mengemukakan calon-calon muka baharu dan berpengalaman serta mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.

“Calon-calon ini merupakan satu hidangan dan harapan baharu khususnya kepada rakyat negeri Johor dan BN mengharapkan pengundi-pengundi dari pelbagai kaum memberikan dokongan dan sokongan kepada calon-calon BN.

“Ini merupakan pembaharuan atau ‘game changer’ yang BN hidangkan. Bagi yang lebih bertenaga dan berpengalaman, BN mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus muka-muka lama yang berpengalaman untuk dikombinasikan dengan muka-muka baharu.

“BN yakin berdasarkan ‘record’ daripada kerajaan Johor yang telah mempunyai 14 menteri besar di bawah BN/UMNO memberikan keyakinan dan harapan semula kepada calon-calon yang diketengahkan oleh BN untuk membentuk kerajaan negeri,” jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.