Zahid Seru Beri Sokongan Kepada Hasni, Pastikan Kemenangan BN PRN Johor

BENUT, 26 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada seluruh pengundi di Negeri Johor agar memberikan sokongan kepada calon-calon BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula hari ini dengan penamaan calon. 

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika memberikan sokongan kepada Datuk Hasni Mohamad yang menjadi calon DUN Benut hari ini. 

Menurut Zahid, di DUN Benut menjadi tumpuan kerana di sini ‘hero’ dan ‘pahlawan’ bertanding yang tentunya kejayaannya bergantung pada jentera BN.

“Kita berdoa dan berharap rakyat Johor dapat memberikan hadiah kepada Datuk Hasni Mohamad dan sebagai ‘poster boy’ dan sebagai Pengerusi BN akan hanya mengemukakan satu nama untuk perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bagi beliau terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau di Pontian dan juga seluruh Negeri Johor, insya-Allah selepas 12 Mac harap rakyat negeri Johor dapat bersama-sama dengan beliau tanpa mengira bangsa dan agama untuk terus memajukan negeri Johor sebagai sebuah negeri termaju di Malaysia,” katanya.

Turut hadir bersama beliau ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi BN Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi MCA Pontian, Datuk Tee See Kiong, Pengerusi Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan barisan kepimpinan bahagian. 

Dalam masa yang sama, Zahid berharap agar jentera BN terus berkerja keras memastikan kejayaan pada PRN ini.

“Saya harap jentera BN berkerja keras dan bersungguh-sungguh dalam keadaan luar biasa. Kita ketepikan titik bengit dan perbezaan.

“Inilah ketikanya untuk BN bangkit semula di negeri Johor. Kita berdoa agar kejayaan ini memihak kepada BN,” ujarnya.

 

Hasni bertanding di kerusi DUN Benut sejak 2008 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,447 undi.

 

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Jan lepas untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

 

Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.