Sokongan Rakyat Johor Untuk BN, Pastikan Kestabilan Terjamin – Hairi


JOHOR BAHRU, 26 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah mengharapkan sokongan daripada rakyat Johor untuk memastikan masa depan negeri khususnya bagi membawa kestabilan dan kemakmuran terjamin.

Katanya, ramai yang sedar bahawa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, kehidupan rakyat terkesan.

“Insya-Allah sekiranya mandat diberikan kepada saya maka saya akan cuba yang terbaik dalam membantu dan memperjuangkan hak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon dalam PRN terbabit yang berlangsung di Dewan JKR, di sini, hari ini.

Dalam PRN terbabit, Hairi menghadapi saingan dari lima calon lain iaitu Dr Zamil Najwah Arbain daripada PKR, Mohamad Riadz Mohamad Hashim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)) dan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang serta calon Bebas, NorRamadan Buan.

Berkaitan pertandingan enam penjuru ini, beliau mengalu-alukan kerana ia adalah amalan dalam sistem demokrasi.

“Ini adalah salah satu amalan sistem demokrasi maka sesiapa sahaja yang mencalonkan diri kita harus mengalu-alukan.

“Bagi BN kami sedar dan kami beristiqamah menerima pertandingan ini namun kami yakin rakyat akan menterjemahkan dengan kebijaksanaan pada hari pengundian nanti.

“BN telah memperjuangkan selama ini untuk membantu rakyat malah kita sedar pembangunan di negeri ini adalah hasil daripada BN,” katanya lagi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor.

Beliau menjadi taruhan BN dalam misi untuk menawan kembali DUN Larkin yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Pada PRU14, kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Mohd Izhar Ahmad yang bertanding atas tiket PKR menewaskan Datuk Yahya Ja’afar (BN) dan Zakiah Tukirin (PAS) dengan majoriti undi 8,590.

Terdahulu, DUN Johor diterajui BN dengan dengan hanya kelebihan satu kerusi iaitu 28 yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.