PRN Johor: ‘Perlawanan Bermula’ Wanita BN Galas Amanah Bantu Calon – Noraini


JOHOR BAHRU, 26 Feb – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yakin jentera pelbagai peringkat khususnya jentera wanita telah pun melipatgandakan usaha masing-masing dalam usaha membantu calon-calon BN mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac depan.

Bercakap kepada UMNO-Online, beliau yang juga Ketua Wanita UMNO menegaskan di peringkat wanita, 56 Ketua Wanita bahagian akan memainkan peranan masing-masing untuk bergerak bersama jentera sepanjang kempen yang bermula hari ini.

“Alhamdulillah kita telah membuat persiapan yang begitu rapi dalam menghadapi PRN Johor dan untuk Wanita, Ketua Wanita di peringkat bahagian-bahagian akan bergerak di 56 DUN yang BN bertanding dan Alhamdulillah… masing-masing penuh semangat.

“Kekalahan pada PRU lepas di Johor memberi lebih semangat kepada jentera Wanita… kesilapan sedikit sebanyak sebelum ini kita telah perbaiki dan mantapkan lagi jentera Wanita di Johor ini,” katanya.

Beliau sebelum itu bersama-sama dengan calon BN DUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid dan pimpinan BN lain di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Separap sebelum Mohd Fared bergerak ke pusat penamaan calon bagi DUN berkenaan di MRSM Batu Pahat.

Dalam pada itu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Batu Pahat turut melahirkan keyakinan dengan kombinasi kepelbagaian calon yang diketengahkan oleh parti.

Kata beliau lagi kombinasi berkenaan termasuklah pemilihan calon daripada Wanita BN memperlihatkan pucuk pimpinan memahami realiti politik semasa.

“Kombinasi serta penonjolan muka baharu termasuk calon daripada Wanita BN memperlihatkan kepercayaan kepimpinan di peringkat nasional dan di Johor ini yang mana sentiasa memberikan ruang terutamanya kepada Wanita dan orang muda yang diamanahkan sebagai calon.

“Untuk Wanita BN sebagai contoh kita mempunyai 12 calon…insya Allah termasuklah calon BN yang lain akan mendapat kepercayaan rakyat dengan bantuan seluruh jentera. Insya Allah.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan peringkat nasional yang diterajui Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang memberikan kepercayaan kepada wanita… insya-Allah mereka boleh menjadi wakil dan menjalankan amanah sekiranya mereka diberikan mandat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.