PRN Johor: Hasni Hadapi Saingan Empat Penjuru Di DUN Benut

PONTIAN, 26 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berhadapan pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Bertanding buat kali keempat di DUN Benut, Hasni yang mewakili Barisan Nasional (BN) ditentang calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Iskandar Noor Ibrahim, calon Perikatan Nasional (PN) Senator Datuk Isa Ab. Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH) Haniff @ Ghazali Hosman.

Pengumuman calon yang layak bertanding itu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Benut Mohd Rafi Abdullah pada 10.42 pagi di Dewan Serbaguna Benut di sini hari ini.

Hasni bertanding di kerusi DUN Benut sejak 2008 dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,447 undi.

Sebelum itu, Hasni merupakan Ahli Parlimen Pontian setelah menang pada PRU11, yang diadakan pada Mac 2004.

Terdahulu, anggota dan pegawai polis melaksanakan kawalan keselamatan di pusat penamaan calon seawal 6 pagi bagi memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran penyokong parti bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Hasni ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon berkata beliau berpuas hati dengan urusan itu hari ini dan kesemuanya berjalan lancar.

“Ini adalah pengalaman pertama DUN Benut ramai yang bertanding. Ini menunjukkan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan penuh kemesraan antara calon yang bertanding. Saya harap kita semua dapat mematuhi SOP ditetapkan SPR dalam siri-siri kempen akan datang,” kata Hasni yang juga Pengerusi BN Johor.

Sementara itu, Isa berkata saingan empat penjuru itu dilihat sangat sihat dan beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai Ahli Dewan Negara, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Pahang, dan guru dengan sebaiknya.

“Menteri Besar (Hasni) mempunyai reputasi baik, namun masyarakat juga mahu kepimpinan baharu dan saya melihat perkara asas yang perlu dilakukan perubahan di kawasan ini atau dijadikan fokus termasuk isu nelayan, perumahan, golongan M40 dan telekomunikasi,” kata Isa yang juga Ketua Bahagian Bersatu Pontian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.