Buktikan Kesungguhan, Keyakinan BN Untuk Kemenangan – Hasni

BENUT, 26 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut melahirkan keyakinan dengan pengalaman dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jentera parti sejak sejak mula pembubaran DUN, maka tentunya BN akan memperoleh kejayaan.

Jelasnya, BN telah merancang dan berusaha menyusun jentera serta menetapkan sasaran-sasaran yang dibuat selama ini.

“Kita tidak akan menoleh ke belakang dan tidak akan merasa penat untuk memastikan bahawa BN kembali kukuh dan kuat di Negeri Johor.

“Bekerja bersungguh-sungguh, lakukan yang terbaik, tunjukkan kepada masyarakat dan penduduk bukan hanya di sekitar Benut ini malah seluruh Negeri Johor bahawa BN sentiasa berusaha memastikan kestabilan demi masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian di bilik gerakan DUN Benut, sebelum bergerak ke pusat penamaan calon hari ini. 

Turut hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi BN Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi MCA Pontian, Datuk Tee See Kiong; Pengerusi Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan barisan kepimpinan bahagian yang lain. 

Dalam masa yang sama, Hasni melahirkan penghargaan kepada seluruh pimpinan tertinggi BN, Negeri dan juga bahagian-bahagian seluruh negeri Johor.

“Terima kasih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa memberikan dorongan, kekuatan untuk menerajui bersama dengan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.