Perbetul Kesilapan, Kembali Pada BN Untuk Kestabilan Demi Masa Depan – Zahid

PONTIAN, 26 Feb – Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengundi akan memberikan sokongan kepada calon-calon BN bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac depan. 

Jelasnya, pada masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ramai pengundi tersalah pilih apabila mengundi Pakatan Harapan (PH) namun kini, beliau percaya bahawa rakyat kembali menyokong BN.

“UMNO yang menjadi tulang belakang BN mempunyai beberapa pendekatan, bukan hanya berdasarkan pada jumlah pengundi yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO dan juga komponen BN tetapi yang telah menolak BN pada PRU 14 lalu telah kembali bersama-sama dengan BN dalam PRN Johor ini.

“Keyakinan ini ditambah dengan beberapa kajian yang memperlihatkan bahawa rasa penyesalan dan kekecewaan di atas kesilapan pada PRU lalu dan akan ditebus pada PRN kali ini.”

Dalam masa yang sama, beliau juga memberikan pandangan berkaitan pertandingan beberapa penjuru yang dihadapi oleh calon BN. 

“Lazimnya semua kerusi yang bertanding di Johor melebihi dari dua penjuru. Ini kerana banyak parti-parti serpihan yang dulunya berada di dalam sebuah gabungan untuk mengalahkan BN tapi kini sudah berpecah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO menjelaskan pada awalnya pihak pembangkang memahami antara satu sama lain tetapi kini mereka risau pertembungan pada PRN ini.

“Saya ada mendengar bahawa mereka (pembangkang) ada ‘understanding’ sebelum penamaan calon tetapi keadaan itu tidak akan terjadi kerana pertembungan empat penjuru tidak dapat dielakkan.

“Biarlah pertembungan empat penjuru tetapi jentera UMNO/BN pada keseluruhannya harus memperkukuhkan gerak kerja yang dilaksanakan dan yakin jika pengundi-pengundi tegar maka tidak perlu risau. 

“Calon-calon BN juga akan cuba menggamit mereka yang ada dalam ‘middle ground votes’ untuk sama-sama dengan mereka,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.