Kenyataan Sentiasa Kontradik, Muhyiddin Gagal – Razlan

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin setiap kali memberi cadangan pasti akan meletakkan kepentingan politik jauh sekali meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Ini kerana katanya, pada awal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, mereka menempelak Kerajaan Johor kerana tidak peka akan kesihatan rakyat dan menuduh Barisan Nasional (BN) sengaja membubarkan DUN ketika musim COVID-19.

“Selepas itu pula, Muhyiddin meminta agar SOP (prosedur operasi standard) pilihan raya dilonggarkan demi memberi laluan kepada proses demokrasi yang baik, mahukan ceramah terbuka dan perjumpaan bersemuka dibebaskan.

“Ini kontradik dengan perasaan kerisauan yang kononya mahu nyawa rakyat dijaga, walhal apa yang keluar dari mulut beliau tidak lain hanya melihat kepada kepentingan parti beliau, jauh sekali memelihara nyawa rakyat,” bidasnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Razlan memberi respon demikian merujuk kepada dua kenyataan media yang dilakukan oleh Muhyiddin Yassin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ia berhubung desakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendengar dan melakukan keputusan yang diambil oleh MPN atas alasan ekonomi.

Tambah Razlan lagi ketika ini pula, Muhyiddin menggunakan alasan MPN untuk mendesak Perdana Menteri membuka sempadan negara pada 1 Mac, walaupun beliau tahu virus Omicron mula merebak di Singapura dahulu baru kemudian ke Malaysia.

“Kalau nak ikut SOP MPN pada awal-awal dulu, Muhyiddin meletakkan jangkaan jangkitan di bawah 4,000 baru boleh dilonggarkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ini SOP yang paling mengarut semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

“Jadi, apa sahaja yang dibuat oleh Muhyiddin adalah demi kepentingan beliau tanpa melihat keselamatan rakyat keseluruhan,” katanya.

Tegas Razlan, kerajaan perlu meneliti apa sahaja keputusan MPN sebelum di implementasikan.

“Jangan jadikan alasan bahawa MPN sudah beri cadangan dan perlu diikuti, banyak cadangan Muhiyddin Yassin yang membawa keburukan kepada kepada negara.

“Tindakan Muhyiddin sehingga mendesak YAB Perdana Menteri untuk mengambil keputusan MPN tidak perlu dilayan.

“Kerajaan jangan peduli dengan desakan ini, meletakkan kepentingan rakyat adalah menjadi satu keutamaan dalam apa jua keadaan,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.