PRN Johor Bawa Cabaran Berbeza, BN Kerja Keras Menangi Hati Rakyat – Shamsul Anuar

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung memberikan cabaran yang berbeza kepada parti.

Katanya, meskipun BN baru sahaja menang pada PRN Melaka pada Nov lalu namun ianya tidak memberi kayu ukur kepada parti gabungan ini untuk tidak bekerja keras bagi memenangi hati rakyat di negeri ini.

“Saya percaya pilihan raya kali ini sangat penting, cabarannya sangat berbeza… bukan bermakna kita menang besar di Melaka, kita pecah rekod di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Piai dan kita telah menang beberapa kali di siri-siri pilihan raya, maka bukan bermakna mudah juga Johor.

“Lanskapnya berbeza keadaan tidak sama dan sudah tentunya BN akan usaha sebaik mungkin tawarkan yang terbaik kepada rakyat dengan apa yang telah kita putuskan, di mana kita menawarkan kestabilan demi masa depan.

“Sedikit sebanyak ianya telah dihuraikan oleh pemimpin tapi saya yakin ia akan lebih jelas apabila manifesto BN akan dikemukakan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan BNComms Bersama Media yang diadakan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut meluahkan keyakinan beliau bahawa manifesto yang bakal diumumkan kelak menjamin kepada pelan pembangunan negeri sekaligus membawa manfaat kepada rakyat.

“Saya cukup yakin yang terbaik BN pusat dan Johor akan tawarkan kepada rakyat untuk membolehkan BN mewujudkan kerajaan stabil dan untuk kita bina negeri yang sangat penting dari segi ekonominya kepada negara.

“Tentunya kita akan tawarkan kepada rakyat secara rasmi, iaitu akan diumumkan beberapa hari lagi selepas penamaan calon,” ujar beliau.

Turut bersama beliau dalam program tersebut ialah MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii selaku Ketua Penyelaras Media BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.