PRN: Gunakan Media Sosial Lawan Fitnah Parti Lawan – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berharap penggunaan media sosial jentera Barisan Nasional (BN) dapat dimaksimumkan ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya ini kerana ianya bagi melawan serangan serta tohmahan parti lawan yang sengaja menaburkan pelbagai dakwaan tidak berasas kepada parti dan kepimpinan sebagai bahan kempen politik.

“Kita kena balas dalam konteks pandangan politik ini kita kena membalas serangan sebagai membuktikan kita berada di pihak benar.

“Jadi kita harap media sosial UMNO dan Barisan Nasional terus melihat jawapan-jawapan Datuk Seri Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib khususnya dalam Facebook mereka untuk membantu membalas serangan-serangan tersebut.

“Mereka berdua sentiasa menjawab dan jawapannya adalah bernas terhadap serangan-serangan itu, ini adalah satu perkara yang sesuai diadakan sesuai pada saat dan ketika ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Beliau berkata demikian rentetan dakwaan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid membawa fail-fail meminta bantuan dalam kes mahkamah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata ahli UMNO dan rakyat khususnya pengundi secara keseluruhannya memahami isu ini adalah tuduhan politik dan tidak dibuktikan dengan kebenaran.

Ahmad sementara itu melihat situasi sama yang berlaku di PRN Melaka akan berulang di Johor apabila berlaku pecah undi terhadap sokongan pada Pakatan Harapan (PH).

“Dari segi calon-calon parti lain iaitu Pejuang, PPBM, Warisan adalah serpihan daripada Pakatan Harapan, Muda juga ketuanya adalah sama juga asal daripada PH.

“Jadi saya harap biarlah undi-undi PH yang dipecahkan dari segi apa yang kita lihat di Melaka itulah berlaku mereka berpecah sesama sendiri,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.