Kombinasi Muka Baharu Dan Lama, Pelbagai Latar Belakang Kelebihan BN – Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Kombinasi pelbagai latar belakang yang membarisi calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diyakini mampu memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ditambah pula dengan pelbagai latar belakang termasuklah akademik sudah tentu ianya adalah pilihan yang terbaik daripada BN untuk rakyat Johor.

“Kombinasi pelbagai latar belakang calon memberi kelebihan kepada parti untuk pengundi membuat pilihan yang tepat.

“Kita telah buat tapisan yang tertentu dan memanglah tidak ada manusia yang sempurna tetapi kalau seseorang itu mendapat markah 80 peratus ke atas tentu sudah dapat gred A,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan senarai calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu 12 Mac depan.

Majlis pengumuman berkenaan turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan BN yang lain.

Tambah Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, untuk mencari seseorang sempurna 100 peratus adalah satu perkara yang mustahil.

“Kita nak cari orang yang sempurna 100 peratus mana ada di dunia ini. Oleh itu kita memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik. Itu yang kita buat pilihan,” tambahnya.

Berkaitan calon muka baharu, Ahmad memberitahu masing-masing mempunyai pengalaman khususnya dalam politik dan sebagainya.

“Masing-masing ada pengalaman politik sekian lama… sebagai contoh di kawasan saya selain Datuk Hasni di DUN Benut, di Pulau Sebatang kita letakkan satu muka baharu Hjh Hasrunizah Hassan… beliau muka baharu tetapi ianya bukan baharu dalam politik.

“Beliau adalah Ketua Wanita UMNO yang berumur 45 tahun dan seorang jurutera. Sekarang kenalah letak jawatan setelah 22 tahun sebagai jurutera. Bekas ketua puteri dan bekas exco Puteri UMNO Malaysia.

“Jadi walaupun muka baharu tetapi bukan orang baharu dalam politik… dah banyak buat kerja di Pulau Sebatang dan saya sendiri amat senang dan tahu beliau adalah calon yang terbaik,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.