Calon BN Selamat Berjuang Menggalas Amanah, Demi Kestabilan Masa Depan – Khaled

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan selamat berjuang kepada semua calon Barisan Nasional (BN) yang menggalas amanah dan kepercayaan parti.

Ujarnya, BN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mereka telah melalui pelbagai tapisan dan sesi libat urus.

“70 peratus calon-calon BN adalah muka baharu serta 80 peratus calon pula berpendidikan tinggi.

“Insya-Allah, dengan matlamat yang jelas untuk semata-mata berkhidmat, dengan kerja kuat, dengan kerjasama dan sokongan semua, rakyat akan beri sokongan dan BN akan kembali membentuk kerajaan yang kuat, kukuh dan stabil.

“Kepada semua calon BN, selamat berjuang menggalas amanah dan kepercayaan parti. Selamat berjuang demi ‘Kestabilan Masa Depan’,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Terdahulu beliau turut menghadiri majlis pengumuman calon BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang turut dihadiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga Pengerusi BN negeri Datuk Hasni Muhammad.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan penamaan calon dijadual Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac.- UMNO Online