BN Mampu Bawa Kemajuan Untuk Johor, Ambil Tauladan PRU-14 – Idris

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berpandangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah peluang untuk rakyat membawa negeri ini kembali memperoleh limpah kemakmuran dan kemajuan.

Beliau juga meluahkan keyakinan untuk calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad meneruskan segala perancangan negeri sekaligus membawa manfaat kepada rakyat.

“Beliau ini saya lihat adalah pemimpin yang baik, adil, saksama, saya nampak kemampuan dia untuk memimpin Johor.

“Saya berpandangan ini peluang untuk rakyat Johor pastikan negeri ini terus stabil, maju cemerlang di bawah kepimpinan Hasni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas sempena PRN Johor Kejayaan Dalam Keberkatan yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Felda itu menambah rakyat perlu mengambil teladan daripada tragedi yang berlaku pada 2018 apabila kemenangan Pakatan Harapan (PH) tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.

Tambah beliau, ini kerana sejak Pilihan Raya Umum ke-14 itu pelbagai perkara yang berlaku kepada negara termasuk kemelut politik yang turut sama memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Pelabur hendak datang melabur dalam negeri kita mereka hendak lihat stabil atau tidak itu kepentingannya… kerana jika tidak akan jadi huru-hara, kerana esok jika orang lain naik jadi kerajaan tukar polisi itu dan ini seperti yang berlaku pada 2018.

“Apabila politik tidak stabil ianya memberi kesan kepada sosial, ekonomi jadi rakyat huru-hara tidak tahu hendak buat apa.

“Secara jelasnya suka atau tidak pilihlah parti yang menunaikan manifesto bukan parti yang sentiasa menabur janji tapi apabila menjadi kerajaan tidak dapat melaksanakannya,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.