BN Kemuka 70 Peratus Calon Baharu, Akademik Dan Umur Elemen Penting – Zahid

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan calon yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini adalah yang terbaik bagi memberi kemenangan kepada parti.

Katanya, tiga elemen penting diberi penekanan antaranya mengambil kira latar belakang akademik, umur dan calon baharu tanpa membelakangkan mereka yang berpengalaman.

“Lebih 80 peratus calon adalah mereka yang ada kelulusan yang tinggi, kita juga tentukan bahawa umur calon lebih 80 peratus 55 tahun ke bawah ini akan lebih bertenaga untuk bagi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Semua parti komponen juga menampilkan lebih 70 peratus adalah daripada muka-muka baharu, semoga kombinasi tiga elemen ini memberikan game changer.

“Kita juga tidak melupakan mereka yang berpengalaman untuk memberikan kesinambungan dari segi usaha membawa Johor sebagai negeri yang utama dan termaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN yang berlangsung di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO sekali lagi memberi penekanan bahawa mereka yang terpilih ini juga mengikut kriteria WALI selaras dengan keutamaan parti mengikut keadaan semasa dengan peningkatan kadar pengundi baharu di negeri ini.

“Saya yakin bahawa team yang akan dihidangkan oleh pengundi di Johor adalah juga akan memberikan harapan baharu bagi negeri ini.

“Kita telah melihat beberapa kriteria pemilihan calon di mana gunakan konsep WALI untuk tentukan calon ‘winnable, acceptable, likeable’ mereka yang dipilih turut memberikan harapan khususnya kepada pengundi baharu.

“Insya-Allah kesemua parti kompenan akan bergerak dan bersungguh mewajibkan kemenangan kepada calon BN pada PRN Johor. Perkiraan ini menjadi formula terbaik bagi calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad untuk wujudkan team terbaik sekiranya mendapat mandat baharu daripda rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, tarikh penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal 8 Mac.

Pilihan raya ini diadakan selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu ianya sekaligus menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di Dewan Undangan Negeri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.