Pengeluaran KWSP: PPBM, PAS Pun Sokong, Asyraf Harap Tuntutan Rakyat Segera Diluluskan

KUALA LUMPUR, 23 Feb – “Alhamdulillah, PPBM dan Pas pun sudah menyokong pengeluaran kali terakhir i-Citra KWSP RM10k yang amat diharap dan dituntut oleh rakyat.”

Demikian luah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan pendek dalam laman facebooknya.

Ini susulan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan dilapor berkata akan menyampaikan petisyen ditandatangani 108,000 orang secara dalam talian bagi menuntut supaya mereka dibenar untuk mengeluarkan wang caruman KWSP mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam hal yang sama, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, memaklumkan akan menyuarakan tuntutan pengeluaran KWSP di Dewan Rakyat selepas menerima memorandum berkaitan daripada PPIM.

Selaras dengan itu, Asyraf berharap agar tuntutan rakyat tersebut akan diluluskan segera.

“Semoga apa yang dituntut oleh rakyat yang hakikatnya amat tertekan, terdesak dan susah dengan pelbagai komitmen bulanan dan hutang tertunggak, hilang punca pendapatan akibat pandemik akan segera diluluskan,” katanya.

Menjawab dalam ruangan komen, Asyraf menekankan agar soal siapa nak jadi hero tidak perlu dijadikan isu.

“Jangan jadikan isu siapa yang jadi hero atau siapapun nak ‘claim credit’. PPBM dan PAS nak credit pun bagi saya tiada masalah. Yang penting akhirnya rakyat yang sedang terdesak memikirkan kelangsungan hidup mereka dapat manfaat.”

Terdahulu, Pemuda UMNO antara yang terawal menyuarakan berkaitan pengeluaran KWSP sejak 30 Okt 2020 dengan mendesak agar ianya dapat dilaksanakan untuk membantu rakyat yang kebanyakannya terjejas dari sudut ekonomi.

Hal terbabit terus diperjuangkan berikutan ramai dikalangan rakyat benar-benar terdesak memerlukan pengeluaran kali terakhir i-Citra RM10 ribu untuk memenuhi pelbagai keperluan dan memulakan kehidupan baharu pasca pandemik. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.