Fasa Pertama PIP Dijangka Siap Penghujung 2023 – MB Perlis

KANGAR, 22 Feb – Fasa pertama projek Perlabuhan Darat Perlis (PIP) dijangka siap pada penghujung tahun depan dan akan mula beroperasi pada awal 2024.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata projek tersebut mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negeri yang memberi manfaat kepada semua pemegang taruh termasuk rakyat negeri itu.

“Lebih kurang 3,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dengan adanya kilang dan perlabuhan yang telah menyatakan minat untuk melabur di Perlis.

“Saya meletakkan angka yang sangat konservatif 3,000 pada masa kini tetapi mengikut jangkaan pihak pemaju (Mutiara Perlis Sdn. Bhd) sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

“Malah pada jangka masa panjang dijangka 12,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan pada 2030,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Pembangunan & Operasi Perlis Inland Port (PIP) antara Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini hari ini.

Katanya, ini akan membuka peluang sangat luas kepada rakyat negeri Perlis khususnya dari segi peluang pekerjaan dan peluang lain yang terhasil daripada limpahan ekonomi itu.

“Sekiranya limpahan ekonomi ini berkesan, ribuan peluang pekerjaan akan wujud dalam sektor perhutanan, peruncitan, perumahan dan binaan itu sendiri hasil daripada limpahan ekonomi yang berlaku di Padang Besar,” katanya.

Beliau berkata pembangunan PIP akan menyokong pertumbuhan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) membuka lembaran baharu dalam sektor perindustrian berskala besar di kawasan seluas lebih kurang 500 ekar bersebelahan CVIA yang mempunyai dua komponen pembangunan.

“Pembangunan kawasan operasi PIP dilaksanakan MPSB dengan anggaran perlaburan RM1.80 bilion manakala perlaksanaan kemudahan infrastruktur luaran merangkumi bonded road, jejambat dan landasan keretapi yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan peruntukan RM318.0 juta,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pemeteraian kerjasama ini adalah antara langkah strategik KTMB untuk kelangsungan perniagaan pengendalian logistik di Utara Semenanjung serta dapat memacu pengembangan perniagaan menerusi pengoperasian pelabuhan darat.

“Usaha ini dapat memastikan KTMB kekal berdaya saing dalam perniagaan logistik melalui penawaran perkhidmatan penyelesaian logistik menyeluruh kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata PIP bakal menjadi hab logistik utama menyokong pembangunan bersepadu Lembah Chuping serta mengukuhkan daya saing perdagangan rentas sempadan. Kerjasama antara KTMB dan MPSB secara langsung dapat merancakkan aktiviti ekonomi dan perdagangan di negeri Perlis. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.